Culik kanak-kanak: Dua wanita warga asing ditahan

Iklan
Dua wanita warga asing ditahan pada Khamis atas dakwaan cubaan menculik seorang kanak-kanak di Genting Highlands yang tular di media sosial pada Isnin lalu. (Gambar dalam :Zaiham)

BENTONG - Polis Bentong menahan dua wanita warga asing di daerah ini pada Khamis atas dakwaan cubaan menculik seorang kanak-kanak di Genting Highlands, di sini yang tular di media sosial pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar memberitahu, satu laporan polis telah dibuat bapa mangsa yang merupakan warga tempatan berusia 33 tahun kira-kira jam 1.20 petang pada Selasa.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pihak polis telah merakam percakapan pengadu dan kesemua saksi.

"Bertindak di atas siasatan yang telah dijalankan, dua wanita warga asing berusia 42 dan 50 tahun ditahan kira-kira jam 11.30 pagi hari ini (Khamis).

Iklan

"Kes disiasat di bawah Seksyen 363/511 Kanun Keseksaan atas cubaan menculik dan sekiranya didapati bersalah boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau dikenakan denda.

"Kertas siasatan tersebut akan dirujuk ke pihak Timbalan Pendakwa Raya," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Iklan

Dalam pada itu, beliau juga menasihatkan orang ramai khususnya ibu bapa atau penjaga agar sentiasa berhati-hati dan peka terhadap aspek keselamatan anak-anak di bawah jagaan masing-masing terutamanya di tempat sesak dengan orang ramai untuk mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

Sebelum ini, tular sebuah video berdurasi 1 minit 20 saat melalui akaun TikTok milik @alfitry_azmi52 yang dimuat naik di Facebook, Daily Traffic Report yang memaparkan dua wanita asing dipercayai cuba menculik seorang kanak-kanak di Genting Highlands pada Isnin.

Tamat..