Bidikan Syasya tepat lagi di Sukma MSN 2022

Iklan
Nurul Syasya Nadiah

WAKIL Johor, Nurul Syasya Nadiah Mohd Ariffin melengkapkan penampilan terakhirnya di pentas Sukan Malaysia (Sukma) dengan meraih pingat emas acara 10 meter (m) air pistol berpasukan campuran pada Khamis.

Pemenang pingat emas Sukan SEA 2021 itu bergandingan dengan Hazeq Hazeem R Azmi mengetepikan wakil Sarawak Justin Joanes Kelukin-Law Wen Xuen 16-12 pada aksi final yang berlangsung di Lapang Sasar Nasional Subang.

Iklan
Iklan

Ini adalah emas keempat dimenangi Nurul Syasya selepas mencipta kejayaan dalam acara 25m sports pistol berpasukan wanita serta 10m air pistol individu dan berpasukan wanita.

Pada aksi hari ini, gandingan Nurul Syasya-Hazeq Hakeem mendahului 6-0 pada permulaan bagaimanapun hilang fokus menyebabkan gandingan Sarawak berjaya mengejar sehingga kedudukan 15-11 sebelum mengesahkan emas buat kontinjen Johor.

Iklan

Pasukan pertama mencapai 16 mata dikira pemenang bagi acara berkenaan.

"Ada hilang fokus sikit namun kami tekad untuk bawa pulang emas demi Johor, syukur kami berjaya dapatkan kembali rentak dan raih emas.

Iklan

"Secara keseluruhan, saya puas hati dengan penampilan di Sukma kerana segala kerja keras saya di sesi latihan sememangnya berbaloi," katanya kepada pemberita.

Atlet berusia 20 tahun itu berkata beliau akan mewakili negara dalam usahanya untuk merebut slot ke Sukan Olimpik Paris 2024 di Kejohanan Dunia berlangsung di Mesir, bulan depan.

Sedar dengan reputasi dimiliki Nurul Syasya, Hazeq yang mengakui gementar beraksi dengan rakan sepasukannya itu bersyukur dapat mengatasi perasaan berkenaan untuk merangkul emas pertamanya di Sukma kali ini.

"Empat acara saya sebelum ini kurang memuaskan namun saya nekad untuk buktikan sesuatu kepada jurulatih dan keluarga dan akhirnya dapat menang emas pada Sukma terakhir saya," katanya.

Dalam pada itu, pasukan Wilayah Persekutuan 2 disertai Muhammad Hakimi Zulkifli-Sarah Aneesa Mazwan menewaskan Wilayah Persekutuan 1 diwakili Abdul Haiqal Abdul Aziz-Nur Batrisya Nasuha Mohd Nor, 17-9 untuk meraih gangsa.

Sementara itu, trio Selangor diwakili Haritz Iklil Hessly Hafiz, Muhammad Hafiz Zulkifli dan Muhammad Syukri Zulkifli membidik emas acara 50m rifle 3 posisi berpasukan dengan kutipan 1,693 mata.

Muhammad Hazim Aqil Azwar, Muhammad Hasief Azrin dan Mustaqim Hanif dari Negeri Sembilan merangkul perak (1,646 mata) manakala gangsa dimenangi pasukan Pahang diwakili Izzuddin Muhammad Shafri, Muhammad Azril Hakim Nor Azman dan Muhammad Fikhri Hafiy Mohd Fazley (1,644 mata).

Haritz Iklil yang kembali ke lapangan bagi acara individu menambah koleksi emas bagi dirinya dan Selangor selepas mengumpul 437.2 mata diikuti Muhammad Hazim Aqil dari Negeri Sembilan (426.6 mata) dan Muhammad Aiman Syafiq Zainal Ariffin memenangi gangsa (415.9 mata).