SHAH ALAM- Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempersoalkan adakah parti lawan benar-benar tidak mahu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan kerana bimbangkan banjir.
Beliau mendakwa, parti lawan sengaja menggunakan alasan tersebut sebagai muslihat untuk mengelak daripada perlu berdepan dengan penentuan rakyat.
Menurut beliau, majoriti rakyat hakikatnya sudah mengerti tentang agenda politik mereka yang songsang dan merosakkan serta tidak selari dengan nilai negara.
"Maka lawan BN masih membantah PRU15 membuktikan mereka masih lemah dan takut. Mungkin belum menemui hasutan pembohongan baharu yang mampu memperdaya fikiran rakyat.
"Justeru, alasan lawan BN PRU15 tidak boleh diadakan pada tahun ini kerana banjir haruslah dibaca bersama helah mereka untuk terus 'membeli masa'.
"Seperti saya nyatakan jika benar lawan BN jujur tidak mahu PRU15 kerana bimbang kemungkinan banjir penghujung tahun, maka kita adakan PRU15 sekarang,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Khamis.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan bahawa Ahmad Zahid memperjelaskan ucapannya mengenai parti itu sanggup meredah banjir jika PRU15 diadakan tahun ini sengaja dimanipulasi kononnya BN tidak mempedulikan keselamatan rakyat.
Jelasnya, ucapan ketika majlis pelancaran Jentera Pemuda BN baru-baru ini adalah untuk memberi gambaran kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa jentera parti telah pun bersedia untuk menghadapi PRU15 pada bila-bila masa walau apa jua keadaan dan situasi.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, jika PRU15 dilaksanakan sekarang, beliau yakin dengan kecekapan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam menjayakan proses demokrasi tersebut walau apa jua situasi yang berlaku.
"Kesemua Pejabat Pilihan Raya Negeri dilaporkan sudah pun membuat persediaan sejak Ogos lalu untuk melaksanakan PRU15 pada bila-bila masa.
"Kemungkinan banjir yang tidak diketahui skalanya lebih menuntut PRU15 diadakan sekarang agar kebajikan rakyat dapat diuruskan oleh sebuah kerajaan yang lebih stabil dan kukuh,” ujarnya.
Bekas Timbalan Perdana Menteri itu turut menyatakan jika pilihan raya tersebut diadakan kini maka ia dapat mengelakkan insiden percanggahan dalam urusan membantu mangsa banjir daripada berulang kembali.
"Kita juga tidak mahu kemelut 'tutup pintu depan, buka pintu belakang' terus berlaku dalam pentadbiran kerajaan kerana yang menjadi mangsa adalah rakyat dan negara,” katanya.
Tambah Ahmad Zahid, kerajaan yang mantap tanpa adanya sabotaj penting dalam menguruskan kesejahteraan hidup rakyat dan mendepani ramalan kemelesetan ekonomi dunia.
"Maka kita adakan PRU15 sekarang dan selesaikan proses demokrasi itu sekarang. Benarkan rakyat Malaysia Memilih demi sebuah kestabilan, kemakmuran dan kesejahteraan.
"Supaya kerajaan dapat kembali berfungsi tanpa"politicking" dalaman yang menyulitkan dan saling tuduh menuduh angkara kerakusan lawan BN untuk berkuasa,” tegas beliau.