HUKUMAN tidak membenarkan kelab Liga Super, Melaka United FC beraksi dalam Piala Malaysia 2022 berikutan kegagalan menyelesaikan tunggakan gaji disifatkan tindakan yang tepat.
Legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail berkata, keputusan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) itu juga peringatan awal kepada pengurusan skuad Hang Tuah supaya lebih serius menyelesaikan isu tersebut.
Malah menurutnya, larangan beraksi dalam kejohanan berprestij seperti Piala Malaysia itu sudah cukup memberi kesan kepada pasukan.
"Bagi saya, ia juga merupakan satu tindakan yang cukup drastik sebenarnya. Lagi pun larangan beraksi di Piala Malaysia ini berkemungkinan tindakan pertama MFL dan apabila masih gagal menjelaskan tunggakan gaji, mungkin pengurusan pasukan berdepan tindakan kedua, ketiga dan seterusnya sehinggalah selesai kesemua bayaran tunggakan gaji tersebut.
"Para pemain pasukan juga sudah pasti akan berasa terlalu kecewa dengan situasi ini, apatah lagi setelah penat beraksi dengan mengikat perut akibat tunggakan gaji, akhirnya pasukan tidak dibenarkan beraksi dalam Piala Malaysia kali ini,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.
Pada Rabu, MFL mengumumkan bahawa Melaka United tidak dibenarkan beraksi dalam saingan Piala Malaysia 2022 berikutan kegagalan melunaskan tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan berkenaan mengikut tarikh yang telah ditetapkan.
Skuad Hang Tuah itu sebelum ini telah menerima notis peringatan pada 6 September lalu untuk menyelesaikan segala tunggakan gaji atau mendapatkan persetujuan bersama daripada pemain dan pegawai terlibat sehingga 20 September.
Bagaimanapun, pengurusan kelab hanya dapat mengemukakan bukti pembayaran sehingga Jun lalu.
Pada masa sama Jamal Nasir menegaskan, isu tunggakan gaji tidak seharusnya berlaku lagi dalam era profesional bola sepak negara hari ini.
Katanya, sekiranya isu seumpama itu masih berterusan, ia secara tidak langsung menggambarkan bola sepak negara belum boleh di label sebagai profesional.
"Pemain-pemain ini semua cari makan dengan main bola, apabila berlaku tunggakan gaji seperti ni, macam mana nak bayar kereta, bayar rumah, anak sekolah dan lain-lain. Jangan aniaya mereka.
"Kelab juga sepatutnya mencari penaja yang lebih berkemampuan supaya tidak timbul masalah terutamanya tunggakan gaji ini pada masa akan datang,” katanya.