KENAIKAN kos haji baru-baru ini menimbulkan pelbagai persepsi dalam kalangan rakyat.
Bagi yang bakal menunaikan ibadah tersebut, kenaikan kos berkenaan dijangka memberikan cabaran dari sudut kewangan seperti perlu merancang tabungan dengan lebih efisien.
Ia disebabkan bakal melibatkan kos perjalanan pergi balik, penginapan serta pengurusan kendiri yang pastinya memakan belanja besar.
Ramai dalam kalangan mereka terutama daripada warga emas dan golongan berpendapatan rendah (B40) serta sederhana (M40) meminta kerajaan untuk mengusahakan sesuatu bagi mengatasinya.
Bagi pengusaha agensi yang menguruskan jemaah haji, kenaikan kos tersebut tidaklah dilihat sebagai isu yang terlalu besar memandangkan ia saban tahun sentiasa meningkat disebabkan beberapa faktor seperti pengenalan cukai baru, inflasi dan nilai tukaran wang baharu.
Bagaimanapun beberapa pakar ekonomi mencadangkan agar kerajaan menyediakan subsidi bersasar bagi golongan B40 dan M40 atau memberikan pinjaman patuh syariah.
Lembaga Tabung Haji juga dinasihatkan untuk memastikan hasil pelaburan mereka semakin meningkat bagi menampung kos para jemaah.
Jika ditelusuri daripada perspektif Islam, kewajipan ibadah tersebut adalah bagi yang benar-benar berkemampuan.
Bagi kebanyakan umat Islam, ibadah haji bukanlah sekadar pelaksanaan ritual yang diiringi ketertiban hukum namun turut disertai dengan nilai sentimental.
Ini kerana ketika melakukan ibadah tersebut, para jemaah berpeluang mengunjungi tempat-tempat suci seperti Masjidil Haram, Bukit Safa dan Marwah, Padang Arafah serta Gua Hira yang pastinya mempunyai 1,001 cerita di sebalik kehidupan para nabi terutama junjungan agung Rasulullah SAW.
Meskipun tidak berpeluang bertemu dengan baginda, namun tempat-tempat suci itu terdapat kenangan dan perjuangannya dalam menegakkan agama tauhid ini.
Maka tidak hairanlah umat islam serta pelusuk sedaya upaya berusaha untuk mengerjakannya meskipun ramai dalam kalangan mereka bukanlah berkemampuan.
Kesimpulannya, setiap pihak harus berganding bahu mewujudkan satu solusi terbaik bagi memudahkan bakal jemaah haji untuk melaksanakannya pada tahun akan datang.