'Tidak pernah gentar bertembung dengan UMNO' - Sanusi

Iklan
Muhammad Sanusi

KUALA NERUS - Pas akan melawan UMNO di Pahang dan Perlis sekiranya parti itu berdegil untuk bertembung di Terengganu dan Kelantan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, jentera Pas kini giat mengukuhkan gerak kerja sebagai persediaan menghadapi senario pertandingan tiga penjuru dalam pilihan raya itu nanti.

Iklan
Iklan

"Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Pas menang dua negeri iaitu Kelantan dan Terengganu. UMNO juga menang di dua negeri.

"Kalau mereka terus isytihar untuk lawan Pas di Terengganu dan Kelantan, Insya-ALLAH kita akan lawan mereka di Pahang dan Perlis,” katanya ketika berucap merasmikan pelancaran jentera PRU15 sempena Pra Himpunan Teguh Pertahan di Dataran Kompleks Sukan Terengganu, di sini, malam Khamis.

Iklan

Tuan Ibrahim menegaskan, Pas tidak pernah takut berlawan dengan UMNO sepanjang kewujudan parti itu dalam sejarah politik tanah air.

Tuan Ibrahim

Namun, katanya, pertembungan itu sebenarnya tidak menguntungkan mana mana-mana pihak dan Pas akan tetap memperjuangkan tawaran kerjasama bersama UMNO.

Iklan

Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, parti itu tidak pernah gentar untuk bertembung dengan UMNO dalam PRU15.

Ujar beliau, Pas sebelum ini mahu meneruskan kerjasama biarpun pernah mempunyai sejarah hitam dengan UMNO atas agenda lebih besar iaitu penyatuan ummah dan perpaduan parti Melayu, Islam, namun kerjasama itu kini dilihat agak mustahil untuk direalisasikan.

"UMNO kata kita tidak boleh lawan mereka depan-depan. Tapi sepanjang 60 tahun kita lawan, enam hari sahaja berkawan. Kenapa UMNO nak kelahi (bergaduh) hari-hari buat kenyataan Pas berkubur, Pas terhegeh- hegeh.

"Kita korbankan semua perasaan, kita berkorban semua ingatan, sejarah bahawa Pas selama 60 tahun ditindas UMNO, BN sehingga ada orang kita yang mati syahid termasuk ketika peristiwa Memali di Baling, semua itu kita padam.

"Tetapi, saya katakan di sini, kalau anda nak kawan datanglah, tapi kalau anda nak lawan, anda tunggulah,” katanya.

Pra Himpunan Teguh Pertahan yang berlangsung sehingga jam 12.30 tengah malam di Dataran Kompleks Sukan Terengganu, di Kuala Nerus dihadiri kira-kira 10,000 penyokong.