Netanyahu ikrar rampas Tebing Barat

Iklan
Projek peluasan penempatan haram Yahudi di Tebing Barat dikecam masyarakat antarabangsa. Gambar kecil, Netanyahu.

TEL AVIV - ISRAEL. Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, semalam dengan angkuh berikrar akan merampas Kawasan C di Tebing Barat jika beliau menang dalam pilihan raya yang berlangsung esok.

"Saya akan memohon kedaulatan tanpa membezakan blok dan penempatan terpencil," katanya buat pertama kali sejak beliau memegang jawatan pada 2009 sebagai cubaan untuk meraih sokongan pengundi haluan kanan yang tidak percaya dengan perjanjian damai bersama Palestin.

Iklan
Iklan

'Kedaulatan' yang pemimpin itu maksudkan ke atas Judea dan Samaria yang dirujuk Tel Aviv sebagai bahagian pentadbiran merangkumi kawasan diduduki Israel di Tebing Barat tidak termasuk Baitulmaqdis.

Kenyataan kontroversi itu dikeluarkan beliau ketika wawancara bersama Saluran 12, tiga hari sebelum pemilihan tersebut bakal diadakan.

Iklan

Penyampai Rina Matzliach dilihat sengaja mengajukan soalan berbaur provokasi tentang isu tersebut kepada Netanyahu.

"Apa pencapaian anda sepanjang tempoh satu penggal selama empat tahun ini? Kenapa anda tidak rampas blok Gush Etzion? Kenapa anda tidak memohon kedaulatan ke atas kawasan Ma'aleh Adumim?" katanya yang merujuk kepada penempatan terbesar Yahudi di kota terbabit.

Iklan

Dengan bongkak, pemimpin yang dihimpit skandal rasuah itu berkata,"Siapa cakap kami tidak akan lakukan ini?Ia sedang dalam proses dan sedang dibincangkan".

Sebelum beliau membuat pengumuman itu, pesaingnya, Menteri Pendidikan, Naftali Bennett yang memimpin parti berhaluan kanan menyelar kelemahan Netanyahu terhadap isu tersebut atas kegagalannya merampas Kawasan C di Tebing Barat tersebut.

Penempatan haram yang dibina di atas kawasan yang diduduki Israel ketika Perang Enam Hari 1967 disifatkan sebagai tidak sah oleh komuniti antarabangsa dan projek pembinaan berterusan penempatan haram Yahudi telah menjadi halangan utama kepada perdamaian di Timur Tengah.

Tindakan unilateral seumpama itu juga boleh mematikan usaha penyelesaian dua negara untuk menyelesaikan konflik Israel-Palestin.

Sementara itu, pegawai kanan Palestin, Saeb Erekat mendakwa kenyataan Netanyahu itu bukan perkara yang menghairankan.

"Israel akan terus melanggar undang-undang antarabangsa selagi masyarakat antarabangsa terus memberi ganjaran kepada Israel tanpa kenakan hukuman terutamanya dengan sokongan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump," ujarnya menerusi Twitter.

Bulan lalu, keputusan Washington mengiktiraf kedaulatan Israel ke atas Bukit Golan yang dirampas dari Syria ketika Perang Enam Hari 1967 turut menerima kutukan negara dunia.

Langkah perdamaian Israel-Palestin terhenti sejak 2014 selepas usaha dilakukan pentadbiran bekas presiden, Barack Obama untuk mencapai penyelesaian dua negara gagal dilaksanakan.

Selain itu, adalah sukar untuk melakukan 'rampasan' ke atas Tebing Barat di bawah pentadbiran bekas presiden Obama dan George Bush berikutan kedua-dua pemimpin terbabit melihat penempatan haram Yahudi sebagai penghalang utama proses damai dan peluasan projek itu wajar dibekukan. - Agensi

Info

>Terdapat kira-kira 2.5 juta penduduk Palestin di Tebing Barat yang dibahagikan kepada Kawasan A,B dan C

>Kira-kira 400,000 pendatang Yahudi tinggal di penempatan haram di Tebing Barat manakala 200,000 lagi tinggal di Baitulmaqdis Timur

>Kawasan A berada di bawah kawalan Palestin

>Kawasan B ditadbir Palestin tetapi keselamatan dikawal Israel

>Kawasan C dikawal sepenuhnya oleh Israel