Ajal ketika memancing

Iklan
Mayat M. Selvan, 28, ditemui di dasar sungai sedalam 0.97 meter dengan jarak satu meter dari tebing sungai.

JASIN - Seorang pemuda ditemui lemas selepas keluar memancing ikan seorang diri di sungai berhampiran kebun sawit menghala ke Jalan Kesang Divison Estate, Kesang Pajak di sini petang semalam.

Mayat M Selvan, 28, ditemui di dasar sungai sedalam 0.97 meter dengan jarak satu meter dari tebing sungai kira-kira jam 4 petang.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, mangsa yang beralamat di Taman Kelubi Damai, di sini dikatakan tidak pulang ke rumah selepas keluar memancing seorang diri.

"Keluarganya telah memaklumkan kepada rakan-rakan untuk mencari dan telah menjumpai motosikal milik mangsa di tepi pintu pagar kebun bersama peralatan memancing di tepi sungai itu yang jaraknya kira-kira 1 kilometer dari rumah.

Iklan

"Mayat mangsa masih berpakaian sempurna dengan memakai baju T berwarna hitam serta seluar pendek coklat," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Arshad, polis juga telah menjalankan pemeriksaan fizikal ke atas mayat mangsa dan didapati tiada sebarang kecederaan atau unsur jenayah di tempat kejadian.

Iklan

"Hasil siasatan awal, mangsa mempunyai rekod penyakit sawan dan sering menerima rawatan di Hospital Jasin.

"Mangsa juga pernah dimasukkan ke wad Hospital Jasin dan Hospital Melaka pada Januari lalu bagi rawatan penyakit itu dan kali terakhir pada 5 April lalu," katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Jasin untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.