KOTA BHARU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan merampas 2,560 utas jam tangan tiruan yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM25,600 di sebuah premis di Padang Bongor, Jalan Pangkalan Chepa, di sini pada Khamis.
Pengarah KPDNHEP Kelantan, Azman Ismail berkata, operasi bersepadu tersebut dijalankan oleh lima penguat kuasa KPDNHEP bersama wakil pemilik cap dagang jam tangan berjenama berkenaan.
Katanya, operasi dilaksanakan bagi membanteras aktiviti penjualan barangan tiruan dan penggunaan cap dagangan tanpa kelulusan atau kebenaran daripada pemilik cap dagangan berdaftar.
"Serbuan dibuat melalui pengaduan oleh wakil pemilik cap dagang daripada pemantauan dan risikan pihaknya selama seminggu.
"Hasil pemeriksaan mendapati terdapat jam tangan pelbagai jenis dan jenama terkenal yang menggunakan cap dagangan palsu,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, tindakan diambil mengikut Seksyen 102 (1)(c) Akta Cap Dagangan (ACD) 2019 iaitu mempunyai dalam milikan, kawalan dan jagaan bagi maksud perdagangan suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah di bawah Seksyen 100 ACD 2019.
"Salinan dokumentasi perniagaan, salinan pendaftaran syarikat, salinan lesen perniagaan dan 2,560 utas jam tangan pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM25,600 itu disita untuk siasatan lanjut.
"Modus operandi peniaga ini membuat pembelian jam dari luar negara seterusnya menjual secara dalam talian dan langsung untuk mendapat keuntungan yang tinggi selain licik bagi mengaburi pihak berkuasa supaya tidak dapat mengesan aktiviti yang dijalankan,” katanya.
Menurut beliau, jika sabit kesalahan, pemilik premis perniagaan boleh didenda maksimum RM15,000 bagi setiap barang dan kesalahan kedua atau berikutnya boleh didenda maksimum RM30,000 bagi setiap barangan.
"Bagi individu atau perseorangan boleh didenda maksimum RM10,000 bagi setiap barang atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.
"Bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh denda maksimum RM20,000 bagi setiap barang atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Azman dalam pada itu menegaskan KPDNHEP Kelantan memberi amaran kepada mana-mana individu atau peniaga yang melakukan aktiviti tidak bermoral ini supaya menghentikannya segera atau tindakan akan diambil disusuli dengan hukuman berat serta denda yang tinggi.