PASANGAN Kelantan, Wee Ming Hock-Muhammad Amir Amirul Azhar mencipta sensasi apabila menghadiahkan pingat emas pertama buat negeri pantai timur itu apabila memenangi pingat emas acara beregu lelaki skuasy di temasya Sukan Malaysia (Sukma) MSN 2022 sebentar tadi.
Pada aksi yang berlangsung di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil, Ming Hock-Muhammad Amir bagaimanapun terpaksa bekerja keras sebelum menewaskan pasangan Kedah, Ong Sai Hung- Muhammad Hafiz Zhafri Abdul Harif itu dalam perlawanan rubber set, 11-9, 5-11, 11-9.
Lebih manis lagi, kejayaan yang diraih pasangan Kelantan itu pengubat duka selepas mereka gagal meraih pingat pada edisi lalu yang berlangsung di Perak.
"Sebenarnya saya tak jangka untuk menang emas dalam acara beregu ini kerana lawan saya juga boleh dikatakan hebat dan mempunyai ranking yang lebih baik.
"Mungkin keserasian kami berlatih selama dua tahun sebelum ini menjadi penyumbang kepada kejayaan pada hari ini.
"Saya sangat gembira kerana menyumbang pingat emas pertama Kelantan di temasya Sukma. Malah ini juga boleh dikatakan sebagai pengubat duka kami kerana pada edisi sebelum ini kami gagal meraih sebarang pingat,” kata Ming Hock kepada pemberita selepas perlawanan.
Gangsa acara beregu lelaki dimenangi wakil Negeri sembilan, Darren Pragasam-Sanjay Jeeva yang menewaskan rakan senegeri Ameeshenraj Chandaran- Shamiel Haeyzad Sharulhisam menerusi kemenangan straight set 11-10,,11-9.
Dalam acara beregu wanita, pasangan adik beradik dari Kedah, Aifa Azman-Aira Azman memenangi pingat emas acara itu selepas menewaskan Sabah, Lai Wen Li-Yee Xin Ying menerusi kemenangan straight set 11-10, 11-9.
Bagi Aifa, dia menyifatkan pengorbanan menarik diri dari acara perseorangan wanita dianggap berbaloi malah gembira kerana beraya memenangi acara beregu wanita bersama adiknya Aira.
"Saya tak menyesal tarik diri dari bermain dalam acara perseorangan kerana saya berjaya mendapat pingat emas bersama adik saya dalam acara beregu.
"Walaupun kami baru berlatih minggu lepas, namun keserasian kami boleh dikatakan anggap mantap, dan itu menjadi punca kami menang pada perlawanan akhir ini,”kata Aifa yang sudah memenangi tiga emas keseluruhan sepanjang beraksi di temasya Sukma.
Pingat gangsa acara beregu wanita dimenangi beregu Wilayah Persekutuan, Noor Ainaa Amani Ampadi-Chan Yiwen yang menewaskan wakil Kedah Wong Heng Wai-K.Sehveetraa menerusi kemenangan straight set 11-3,11-5.