MELAKA - Seorang pelayan restoran warga India didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, pada Jumaat, atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun.
Sunil Kumar, 35, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nariman Badruddin.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan cara meraba punggung seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun di Tingkat 9, The Shore Residences, Jalan Persisiran Bunga Raya kira-kira jam 3.30 petang 12 September lalu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan hukuman sebat, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, N. Sivashangari manakala tertuduh diwakili peguam Pang Wan Si memohon jaminan rendah RM3,000 dengan alasan tertuduh hanya berpendapatan RM1,500 sebulan.
Bagaimanapun, rayuan itu ditolak Nariman kerana kerana permit kerja tertuduh tamat pada 18 September lalu dan perlu mengemukakan bukti telah memperbaharui permit kerja dikeluarkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Mahkamah mengarahkan pihak pembelaan mengemukakan rekod pergerakan keluar masuk tertuduh selain status permohonan lanjutan kerja yang perlu dikemukakan dalam tempoh dua minggu.
Selain itu mahkamah menetapkan 17 Oktober depan sebagai sebutan semula kes.