PENJAGA gol sensasi, Ahmad Syihan Hazmi membalas kepercayaan pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon apabila mempamerkan aksi cemerlang ketika membantu pasukan negara mara ke final Piala Raja Thailand di Ching Mai pada Khamis.
Pemain Negeri Sembilan FC itu tidak mensia-siakan peluang keemasan yang diberikan itu apabila menjadi antara faktor kemaraan skuad Harimau Malaya ke pentas final selepas menundukkan Thailand 5-3 menerusi penentuan sepakan penalti selepas terikat 1-1 pada aksi sebenar.
Syihan memberitahu kemenangan itu adalah hasil kerjasama rakan pasukan yang bertungkus-lumus memberikan yang terbaik di atas padang.
"Bukan saya seorang sahaja, tetapi satu pasukan beraksi dengan baik pada malam ini (Jumaat),” katanya.
Syihan diuji dengan serangan bertali arus pemain berkualiti tinggi seperti kapten pasukan tuan rumah, Chanatip Songkrasin selain bintang seperti Supachok Sarachat dan Teerathon yang diturunkan pengendali Thailand Mano Polking.
Sepanjang 95 minit aksi, pemain berusia 26 tahun itu tenang menafikan tiga percubaan berbahaya skuad Gajah Perang untuk membocori gawangnya.
Pemain kelahiran Kelantan itu berdepan demik cemas pada minit ke-68 ekoran kelekaan barisan pertahanan yang hampir membawa padah, namun percubaan satu lawan satu oleh Suphanat Mueanta dinafikan oleh penjaga gol muda itu.
Sungguhpun bolos pada masa kecederaan perlawanan, Syihan terus menjadi taruhan skuad Harimau Malaya pada penentuan sepakan penalti.
Dia membantu Malaysia mara ke final hasil ketangkasannya menafikan sepakan pemain sayap sensasi Thailand, Supachok yang menjadi penendang penalti keempat.
Pada aksi final, pasukan negara akan berdepan Tajikistan yang turut mara selepas mengatasi Trinidad & Tobago.
Malaysia berpeluang untuk menamatkan kemarau 44 tahun kejuaraan Piala Raja Thailand dalam saingan akhir pada Ahad.