Geng Batam guna jampi pecah kereta dicekup

Iklan
Gambar kiri: Empat suspek dipercayai Geng Batam ditahan polis secara berasingan pada 14 September lalu. Gambar kanan: Ayat jampi serta tangkal yang ditemui pada suspek-suspek.

MELAKA - Geng Batam yang aktif melakukan kegiatan pecah kenderaan dengan membaca ayat dan kalimah jampi serapah akhirnya ditahan polis.

Kumpulan didalangi empat suspek warga Indonesia berusia antara 22 hingga 41 tahun itu dicekup secara berasingan di sekitar Senai, Johor pada 14 September lalu.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kumpulan itu dipercayai aktif sejak awal bulan ini dan bergerak dengan menyewa kenderaan dari Johor menuju ke Melaka untuk melakukan jenayah.

Menurutnya, mereka menyasarkan kenderaan yang terdapat barang berharga dan ditinggalkan pemiliknya dalam kenderaan.

Iklan

"Kumpulan suspek ini menggunakan serpihan seramik daripada palam pencucuh untuk memecahkan cermin kenderaan.

"Polis turut menjumpai barang-barang beserta ayat dan kalimah jampi dipercayai digunakan mereka sebagai tangkal untuk mengaburi perbuatan jenayah yang dilakukan," kata beliau dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Tambah beliau, dengan tertangkapnya suspek, polis berjaya menyelesaikan lapan kes jenayah pecah cermin kereta di daerah Melaka Tengah.

Ujar beliau, turut dirampas pakaian yang diguna pakai semasa kejadian, beberapa unit telefon bimbit, lampu suluh dan kenderaan.

"Kesemua suspek masih ditahan reman sejak 15 September dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan," kata beliau.