SHAH ALAM - Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) mengesahkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kini berada dalam keadaan baik dan sedia dihantar semula ke Penjara Kajang bagi menjalani hukuman penjara.
HRC menerusi kenyataan memaklumkan, Najib telah menjalani beberapa pemeriksaan dan rawatan rehabilitasi sepanjang berada di pusat berkenaan.
Iklan
Iklan
"Hasil pemeriksaan terkini yang dilakukan Pakar Perubatan Rehabilitasi HRC mendapati tahap kesihatan beliau (Najib) kini berada dalam keadaan yang baik.
"Beliau juga telah diberikan tunjuk ajar oleh Jurupulih Perubatan Fisioterapi HRC dan boleh menjalankan latihan teknik senaman secara kendiri.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Ahli Parlimen Pekan itu dibawa ke hospital untuk menjalani pemeriksaan setelah dimaklumkan keadaan kesihatannya tidak memuaskan.
Dalam pada itu HRC turut mengesahkan, pakar perunding yang berkaitan juga telah mengadakan sidang bersama Najib dan ahli keluarga terdekat bagi memaklumkan situasi terkini keadaan kesihatan serta pelan pemantauan kesihatan bekas Presiden UMNO itu.
"Bersesuaian dengan matlamat HRC, kami akan terus komited dan telus dalam pemberian perkhidmatan bagi memastikan pesakit yang dirawat dapat mencapai tahap potensi optimum dan membolehkannya mencapai tahap kefungsian maksimum," kata kenyataan itu.