GTA raih sokongan bukan Melayu melalui NGO

Iklan
Mukhriz (dua dari kanan) menampi padi secara tradisional menggunakan nyiru sebelum proses membuat emping ketika program ‘Jom Mengemping bersama Ahli Parlimen Jerlun’ di Megat Dewa di sini pada Jumaat.

KODIANG - Gerakan Tanah Air (GTA) yang ditunjangi parti politik Melayu akan meraih sokongan bukan Melayu daripada wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menganggotai gabungan itu.

Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, sebahagian ahli NGO yang menyatakan sokongan kepada GTA terdiri daripada kalangan bukan Melayu dan mereka akan berperanan sebagai wakil untuk meraih sokongan bukan Melayu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, jumlah NGO terlibat yang menyokong GTA dilihat semakin bertambah dan akan diumumkan dalam masa terdekat.

"Ramai juga bukan Melayu bertanya macam mana untuk terlibat dalam gerakan ini. Walaupun GTA merupakan gerakan parti dan NGO Melayu, sebenarnya ada NGO yang terlibat bukan bersifat kaum, contohnya persatuan alam sekitar yang menjadi aktivis NGO pelbagai kaum.

Iklan

"Saya akui apa juga kerajaan yang bakal ditubuhkan nanti adalah kerajaan campuran, tak boleh 100 peratus Melayu Islam tetapi ditunjangi pemimpin Melayu. Maksudnya dominan Melayu, tetapi akan ada wakil-wakil daripada kaum-kaum lain,” katanya pada sidang akhbar selepas program ‘Jom Mengemping bersama Ahli Parlimen Jerlun’ di Megat Dewa di sini pada Jumaat.

Ahli Parlimen Jerlun itu berkata, beberapa perbincangan bersama kelompok bukan Melayu telah diadakan untuk memahami kehendak sebenar mereka.

Iklan

"Kita berikan penjelasan kenapa harus menyokong GTA, nampaknya penerimaan begitu baik sekali.

"Tak pernah kita ada sebuah kerajaan Persekutuan yang bukan Melayu sejak merdeka, semua memahami sejarah, yang penting hak dan kepentingan bukan Melayu sentiasa terjaga. Ekonomi berkembang pesat dan semua dapat mencari rezeki. Macam itu jugalah GTA mahu lakukan,” ujarnya.

Menurutnya, bagaimanapun, GTA masih lagi mengadakan perbincangan secara dalaman agar wakil-wakil bukan Melayu terlibat dalam gerakan ini.

"Ini supaya wakil mereka juga terlibat dalam proses pilihan raya, ada calon kalangan mereka yang bertanding malah akan bersama dalam menubuhkan kerajaan.

"Kita tidak ada pakatan dengan parti politik bukan Melayu, sebab itu kita nak tengoklah apa lagi ruang yang boleh diterokai untuk libatkan mereka bersama. Penglibatan NGO dalam GTA setaraf dengan parti politik bukannya duduk di bawah. Itu bezanya GTA dengan gabungan lain,” katanya.

Mukhriz memaklumkan, NGO dan parti politik Melayu bawah gerakan GTA akan seiring termasuk dalam membuat keputusan bersama.

GTA merupakan gagasan baharu disertai parti politik, NGO serta ahli akademik dan profesional Melayu dengan empat parti tonggak, Pejuang, Berjasa, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN).