Markas laga ayam diserbu, lapan ditahan

Iklan
Gambar kiri, lokasi serbuan dan gambar kecil, ayam yang digunakan untuk judi laga manakala gambar kanan, antara individu yang ditahan.

KAJANG - Keasyikan warga asing menyabung ayam terhenti selepas markas kegiatan itu di kawasan kebun di Taming Jaya, di sini, diserbu polis.

Dalam serbuan oleh Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Gangsterisme (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor kira-kira jam 11 pagi tadi, semua kaki laga ayam lari lintang-pukang untuk mengelakkan daripada tertangkap.

Iklan
Iklan

Pegawai Operasi, Asisten Superintendan Rozam Effandy Raslee berkata, Ops Laga ini berjaya menahan seramai lapan individu termasuk seorang wanita berusia lingkungan 25 hingga 46 tahun.

"Semakan mendapati tujuh daripada mereka merupakan warga Indonesia di mana dua daripadanya adalah penganjur, manakala lima lagi adalah pemain.

Iklan

"Seorang warga tempatan yang ditahan itu juga disyaki terlibat dengan geng kongsi gelap 04 serta memiliki rekod dikehendaki bersabit kes jenayah yang disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas lapan ekor ayam, 12 bilah pisau yang dijadikan taji ayam serta wang tunai berjumlah RM777.

Iklan

Katanya, dipercayai kegiatan ini dikesan aktif sejak dua bulan lalu dengan kebanyakan yang menyertainya datang dari sekitar Balakong, Seri Kembangan dan Kajang.

"Aktiviti pertaruhan laga ayam biasanya dibuat sekitar jam 10 pagi sehingga jam 1 petang dengan nilai pertaruhan bermula RM100 sehingga RM500," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 44 (1) Akta Binatang 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.