SHAH ALAM - Keyakinan pendeposit terhadap Lembaga Tabung Haji (TH) dilihat kembali pulih susulan lebih 200,000 akaun baharu telah dibuka dengan keseluruhan jumlah pendeposit agensi itu kini mencecah 8.6 juta orang.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, jumlah tersebut diperoleh hasil usaha kerajaan membetulkan persepsi terhadap TH bagi memastikan agensi berkenaan terus relevan untuk mengurus wang para pendeposit.
Menurutnya, pada separuh pertama tahun ini, TH memperoleh jumlah deposit sebanyak RM88.09 bilion dan ia merupakan paras tertinggi yang pernah direkodkan sejak 59 tahun penubuhannya.
"Ini menjadikan TH meraih pendapatan sebanyak RM1.47 bilion dengan keuntungan bersih sebanyak RM1.03 bilion selepas ditolak peruntukan zakat.
"Kejayaan ini sudah pasti disumbang oleh kepercayaan para pendeposit terhadap TH serta Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam menguruskan institusi kewangan milik umat Islam ini. Ia juga bukti kejayaan kerajaan dalam mengembalikan kepercayaan pendeposit, yang mana gagal dilakukan oleh pentadbiran sebelum,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Jumaat.
Dalam pada itu Ahmad Marzuk menjelaskan, pelbagai tindakan diambil bagi mengembalikan kepercayaan pendeposit terhadap TH termasuk meneliti semua jenis transaksi, pelaburan dan perancangan yang telah atau sedang dilaksanakan untuk dinilai semula.
Katanya, aset-aset yang mampu dikekalkan dan berpotensi dipulihkan telah dimanfaatkan sepenuhnya bagi memastikan umat Islam kembali mempercayai TH.
"Saya masih ingat lagi ketika kepercayaan kepada TH merundum akibat egagalan sesetengah pihak dalam mengurus persepsi yang membelenggu sebelum ini. Tuduhan-tuduhan seperti penjualan aset, penyelewengan dan sebagainya menyebabkan ramai umat Islam rasa sangsi akan kemampuan TH.
"Itulah perkara pertama yang saya bersama mantan menteri tekankan untuk diperbetulkan, persepsi-persepsi yang membelenggu ini harus dileraikan. TH tidak boleh dilihat sebagai institusi yang merugikan, sedangkan matlamat penubuhannya untuk membantu umat Islam.
"Melalui kepercayaan ini juga terhasilnya pelaburan yang meningkatkan jumlah pendapatan dan keuntungan TH termasuk pelaburan pendapatan tetap sebanyak RM966.34 juta, pelaburan saham (RM224.62 juta), pelaburan harta tanah (RM213.66 juta) serta pendapatan lain (RM66.07 juta),” jelasnya.