13 rekod baharu acara kanu Sukma MSN 2022 diiktiraf

Iklan
Barisan atlet kanu Johor yang memenangi pingat emas Sukma MSN 2022 bergambar di Kompleks Sukan Air Putrajaya. - Foto Bernama

CATATAN masa terpantas yang dicipta dalam 13 kategori acara kanu pada Sukan Malaysia (Sukma) MSN 2022 diiktiraf sebagai rekod kebangsaan yang baharu.

Perkembangan itu disahkan Presiden Persatuan Kanu Malayasia (MASCA), Datuk Michael Wong yang memaklumkan dakwaan bahawa semua rekod terbabit tidak dikira adalah tidak benar.

Iklan
Iklan

"Kami telah berbincang dengan ketua delegasi dan pengarah pertandingan, kami adakan mesyuarat dalam talian dengan persatuan kanu Asia semalam, bahawa segala rekod ini diambil kira.

"Sebelum ini ada pertanyaan adakah ia rekod kebangsaan atau masa terbaik, tapi kami hari ini mengesahkan ia memang rekod kebangsaan," katanya ketika sidang media di Kompleks Sukan Air, Putrajaya, pada Jumaat.

Iklan

Pada Sukma edisi kali ini, sebanyak lapan rekod kebangsaan baharu dicipta dalam kategori wanita, sementara kategori lelaki menyaksikan lima rekod diperbaharui.

Dalam pada itu, Michael turut memaklumkan MASCA telah mencalonkan dua atlet iaitu Mohd Fakhrullah Mohd Rumaize dan Syahida Asyiqin Rusli, masing-masing sebagai Olahragawan dan Olahragawati Sukma ke-20 ini.

Iklan

Beliau memaklumkan, pencapaian Mohd Fakhrullah dari Johor yang memperbaharui dua rekod kebangsaan selain rangkul tujuh emas, sementara Syahida dari Terengganu yang meleburkan empat rekod kebangsaan, sewajarnya diberi penghargaan.

Sementara itu, pertandingan kanu petang ini menyaksikan Johor membolot ketiga-tiga kategori acara perahu tradisional 8 pendayung 200 meter (m) lelaki, wanita dan campuran.

Bagi kategori lelaki, negeri selatan itu mencatat masa 54.850 saat (s) untuk muncul juara mengalahkan Pulau Pinang (56.252s) di tempat kedua dan Wilayah Persekutuan (56.273s) tempat ketiga.

Kategori wanita pula, Johor mengambil masa 1 minit 01.034s untuk merangkul emas, manakala Wilayah Persekutuan (1:02.461s) dan Terengganu (1:04.752s) masing-masing menang pingat perak dan gangsa.

Johor terus mempamerkan dayungan cemerlang bagi acara perahu tradisional 8 pendayung 200m campuran, untuk tampil juara dengan catatan masa 57.723s manakala pingat perak menjadi milik Terengganu (58.553) dan Wilayah Persekutuan menang gangsa (59.044s). - Bernama