Sukma 2022: Terengganu juara bola sepak

Iklan
Pemain pasukan Pulau Pinang, Muhammad Zul Hisyam Zamari (kanan) diasak dua pemain Terengganu pada perlawanan akhir bola sepak Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam ini. - Foto Bernama

SKUAD Terengganu dinobatkan sebagai juara acara bola sepak temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2022 selepas menewaskan Pulau Pinang 2-0 pada perlawanan akhir sebentar tadi.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium bola sepak Kuala Lumpur, skuad Pulau Pinang kendalian Akmal Rizal Ahmad Rakhli dilihat lebih mengamalkan corak permainan serangan berbanding lawan mereka.

Iklan
Iklan

Skuad Harimau Kumbang hampir membuka tirai jaringan pada minit ke-22 namun rembatan yang dilakukan Muhammad Syamel Idzham berjaya ditepis penjaga gol Terengganu, Nor Hakeem Hamidun.

Keasyikan Pulau Pinang untuk mencari gol pembukaan dihukum oleh Terengganu yang terlebih dahulu mendapat jaringan menerusi tandukan Safwan Mazlan pada minit ke-24.

Iklan

Tersentak dengan gol tersebut, Pulau Pinang kembali memperkemaskan aksi bagi mencari gol penyamaan namun tiada sebarang gol berjaya dihasilkan sekaligus menyaksikan kedudukan 1-0 kekal hingga wisel penamat separuh pertama dibunyikan.

Memasuki babak kedua, permainan dilihat agak seimbang apabila kedua-dua pasukan saling melakukan serangan ke atas kubu lawan mereka.

Iklan

Bagaimanapun nasib nyata melebihi Terengganu apabila berjaya menggandakan kedudukan pada minit akhir perlawanan menerusi jaringan Aqil Idham Bahari.

Kemenangan 2-0 keatas Pulau Pinang itu sudah cukup untuk Terengganu menamatkan kemarau 12 tahun ibu segala pingat selepas kali terakhir memenanginya pasa tahun 2010.

Untuk rekod ini merupakan emas keempat dalam acara bola sepak yang diraih skuad penyu sepanjang menyertai temasya dwi tahunan itu.