Jenazah Bob Lokman selamat dikebumikan

Iklan
Jenazah Allahyarham Bob Lokman disembahyangkan di Masjid Al-Taqwa Mukim Pulau sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pulau Bunut Kubang Kerian pada Jumaat. - Foto Bernama

KOTA BHARU - Jenazah penulis lirik, pelakon dan pelawak, Bob Lokman atau Mohd Hakim Lokman selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pulau Bunut, Kubang Kerian di sini, 9.30 malam Jumaat.

Terdahulu jenazah dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian untuk dimandi dan dikafankan sementara solat jenazah disempurnakan di Masjid Kampung Pulau Hilir, Kubang Kerian.

Iklan
Iklan

Lebih 100 keluarga, kenalan dan rakan artis yang hadir termasuklah Datuk M Nasir dan Datin Marlia Musa.

Sementara itu, M Nasir berkata, beberapa bulan sebelum itu beliau sempat menziarahi Bob yang masih lagi sihat.

Iklan

Menurutnya, mereka bertemu buat kali pertama pada 1980-an sebelum Bob bersama kumpulan Wings sebagai pengurus dan menganggap hubungan antara mereka berdua bagaikan adik-beradik.

Mengulas lanjut M Nasir berkata, beberapa tahun kemudian, mereka bertemu semula dan Bob masih bersama kumpulan Wings dan sejak itu hubungannya terus rapat.

Iklan

Bagi Marlia, beliau mengakui Bob adalah telangkai yang memperkenalkan beliau hingga mendirikan rumah tangga dengan M Nasir.

"Saya kenal dengan Bob sebelum saya berkahwin sudah menganggapnya sebagai abang kami dan pernah menziarahi beliau semasa sakit.

Saya kagum melihat beliau melawan sakit. Kali terakhir kami berjumpa, Bob masih lagi ceria dan sempat membuat lawak," katanya.

Bob Lokman, 58, meninggal dunia di kediamannya di Kubang Kerian di sini kira-kira 3 petang tadi dipercayai akibat komplikasi jantung. - Bernama