MACHANG - Maahad Tahfiz Abi Abuya (MTAA) Pangkal Changgong di sini mahu melahirkan lebih ramai insan contoh yang mantap dari segi akidah dan akhlak.
Mudir MTAA, Mohd Azman Mat Nor berkata, usaha ke arah mencapai sasaran itu dilakukan oleh tahfiz tersebut melalui penyebaran agama Islam kepada pelajarnya dan masyarakat umum sejak penubuhan pada Mac 2018.
"MTAA adalah sekolah tahfiz yang berdaftar dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) bertujuan melahirkan lebih ramai insan berkebolehan untuk diketengahkan kepada masyarakat sebagai model yang boleh dicontohi dari segi akidah, syariat dan akhlak.
"Model itu selainnya perlu mempunyai ilmu dalam al-Quran, usuluddin, fekah dan tasawuf yang bertepatan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ),” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Jumaat.
Menurut beliau, jumlah pelajar semasa di MTAA adalah seramai 45 orang dan mereka mempunyai peluang cerah untuk menyambung pelajaran ke institusi pengajian tinggi di dalam dan luar negara.
"Keperluan ilmu agama amat penting bagi pertumbuhan jiwa, iman dan aqidah serta perkembangan potensi pelajar dari segi rohani juga jasmani.
"Penyerapan sifat kepimpinan dan tanggungjawab sebagai khalifah seterusnya akan melahirkan generasi Islam yang kental serta tinggi daya saing,” katanya.
Mohd Azman berkata, sukatan mata pelajaran dan kurikulum di MTAA merangkumi hafazan al-Quran, tafsir, usuluddin, fekah, al-Hadith, tajwid dan qiraat, sirah nabawiyah, balaqhah, mantiq, nahu dan shorof, bahasa Arab, khat, silat tongkat serta memanah.
"MTAA juga mengadakan aktiviti dan sumbangan kepada masyarakat setempat merangkumi majlis bacaan al-Quran, surah Yasin dan tahlil, solat jenazah, solat hajat, khatam al-Quran, pertunjukan silat tongkat serta kerja-kerja amal.
"Tahfiz ini memerlukan sumbangan dana untuk pembelian alat-alat bantuan pembelajaran, mesin basuh dan mesin pengering pakaian.
"Perbelanjaan penyelegaraan dan baik pulih aset serta binaan sedia ada, pembelian kenderaan van untuk kemudahan pergerakan pelajar juga perbelanjaan pembinaan asrama pelajar perempuan,” katanya.
Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Pusat Tahfiz Abi Abuya CIMB 8603 4219 98 atau untuk maklumat lanjut boleh hubungi Mohd Azman di talian 018-5724247.