Protes kematian tahanan wanita di Iran memuncak

Iklan
Kematian Mahsa Amini turut mencetuskan protes solidariti di Istanbul, Turkiye.

TEHERAN - Sekurang-kurangnya 17 orang terbunuh ketika rusuhan merebak di seluruh Iran berhubung kematian seorang wanita Kurdish semasa dalam tahanan polis.

Bagaimanapun kumpulan hak asasi manusia mendakwa bahawa angka kematian hampir dua kali ganda lebih tinggi.

Mahsa Amini, 22, meninggal dunia minggu lalu selepas penahanannya oleh polis unit moral yang digeruni republik Islam itu kerana didakwa memakai tudung dengan cara ‘tidak wajar’ dan berita kematiannya mencetuskan kemarahan meluas.

Iklan
Iklan

Protes yang pada awalnya tertumpu di kawasan majoriti Kurdish di Iran sebelum tersebar ke sekurang-kurangnya 50 bandar dan pekan seluruh negara itu, adalah yang terbesar sejak gelombang demonstrasi membantah lonjakan harga petrol pada 2019.

Susulan tunjuk perasaan besar-besaran itu yang turut mencetuskan protes solidariti di luar negara, perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) meletakkan polis unit moral dalam senarai hitam sekatannya pada Khamis dan menuduh pasukan keselamatan berkenaan bertanggungjawab atas kematian Mahsa.

Iklan

Tunjuk perasaan itu turut menyaksikan beberapa wanita bertindak membakar selendang dan memotong rambut mereka di khalayak ramai sebagai simbolik membantah kod berpakaian yang ketat.

Dalam pada itu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dikenali sebagai Hak Asasi Manusia Iran yang berpangkalan di New York mendakwa sekurang-kurangnya 32 orang awam telah terbunuh dalam tindakan keras Iran sepanjang enam malam keganasan terhadap penunjuk perasaan.

Iklan

Amnesty International dan beberapa organisasi hak asasi manusia pula mendakwa pasukan keselamatan bertindak melepaskan tembakan peluru pelet logam serta menggunakan gas pemedih mata dan meriam air bagi menyuraikan penunjuk perasaan.

Gambar Mahsa Amini yang terlantar di katil hospital tersebar di media sosial sekali gus mencetuskan kemarahan orang ramai di Teheran dan di luar negara.

Mahsa sebelum ini dilaporkan mengunjungi kawasan ibu negara, Teheran bersama keluarganya dari wilayah selatan di Kurdistan untuk menziarahi saudara mereka.

Tidak semena-mena dia diberkas pihak berkuasa kerana gagal mematuhi peraturan pemakaian bagi golongan wanita.

Ahli keluarga menyedari wanita malang itu dibawa ke hospital selepas ditangkap dan dipindahkan ke unit rawatan rapi di Hospital Kasra.

Pihak polis pula memberi alasan kononnya mangsa mengalami serangan jantung.

Bagaimanapun, pihak keluarga menolak dakwaan itu kerana mangsa tidak pernah mengalami sebarang masalah kesihatan.

Mahsa berada dalam keadaan koma selepas tiba di hospital dan doktor memaklumkan otaknya tidak lagi berfungsi.

Gambar wanita itu terbaring di atas katil hospital dalam keadaan koma dengan balutan di sekeliling kepalanya serta alat bantuan pernafasan tersebar dalam media sosial. - AFP