KUALA LUMPUR - Dua premis penyembelihan dan pemprosesan ayam yang disyaki melepaskan efluen perindustrian tanpa rawatan ke longkang awam digempur oleh pihak berkuasa pada Khamis.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) menerusi satu hantaran di Facebook memaklumkan, tindakan tersebut dibuat menerusi Ops Bersepadu yang disertai 21 pegawai dari pelbagai agensi.
Menurut hantaran tersebut, persampelan rasmi efluen perindustrian yang dilepaskan tanpa rawatan ke longkang awam dijalankan oleh pegawai Jabatan Alam Sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JASWPKL).
Sampel tersebut kemudiannya untuk dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) bagi tujuan analisis.
"Ketidakpatuhan terhadap had pelepasan bagi parameter di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama suatu tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
"Pihak premis industri adalah diingatkan supaya sentiasa mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS), 1974 dan peraturan-peraturan di bawahnya," katanya dalam satu hantaran pada Jumaat.