SHAH ALAM - Malaysia seharusnya boleh terus menjadi juara terhadap usaha mereformasi institusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kata Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid.
Beliau berkata, kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berkaitan keperluan menghapuskan amalan undi veto dalam PBB bukan sahaja mewakili Malaysia, malah aspirasi majoriti anggota organisasi itu.
"Konsep Keluarga Dunia ditawarkan Perdana Menteri kepada dunia juga inisiatif yang seharusnya disokong dan diperkembangkan.
"MBM mencadangkan idea Keluarga Dunia ini diinstitusikan sepertimana yang pernah dilaksanakan dengan kewujudan Pergerakan Kesederhanaan Global.
"Kenyataan tegas dan berprinsip yang dibawakan Perdana Menteri diharapkan akan terus meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara yang dihormati di peringkat global serta serantau,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Menerusi ucapannya bersempena Perhimpunan Agung PBB (UNGA) kali ke -77 di Ibu Pejabat PBB, New York pada Sabtu, Ismail Sabri menyifatkan kuasa veto dimiliki beberapa negara dalam Majlis Keselamatan PBB sebagai masalah paling besar institusi tersebut.
Katanya, kuasa veto sering kali disalahgunakan untuk memihak kepada beberapa kuasa dunia di samping ia dilihat tidak demokratik dan melanggar prinsip hak asasi manusia sehingga menyebabkan Majlis tersebut gagal menyelesaikan mana-mana konflik yang berlaku.
Jelas beliau, selaras dengan prinsip satu negara satu undi, sudah sampai masanya kuasa veto tersebut dihapuskan.
Dalam pada itu, Mohd Izzat berkata, kenyataan Ismail Sabri yang memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Palestin dan menggelar Israel sebagai sebuah negara Aparteid adalah antara kenyataan yang berani, tegas, dan berprinsip pernah dikeluarkan Malaysia.
"MBM juga menyokong penuh kritikan Perdana Menteri kepada kebisuan masyarakat global di dalam isu Myanmar, yang juga telah memberikan kesan kepada negara jiran khususnya dengan kehadiran pelarian Rohingya yang telah mencecah 200,000 di Malaysia.
"MBM mendesak ASEAN dan negara ahli ASEAN untuk mengambil langkah lebih tegas terhadap kerajaan junta Myanmar atas pencabulan hak asasi dan menafikan hak demokrasi rakyat Myanmar.
"Polisi tidak campur tangan yang diamalkan ASEAN tidak sepatutnya dijadikan alasan kepada segala pencabulan yang sedang berlaku di Myanmar,” ujarnya.