Festival Nasi Lemak himpun vendor nasi lemak terbaik KL

Iklan
Ameer (tengah) bersama isteri meninjau reruai peserta Festival Nasi Lemak di Mydin USJ di sini pada Sabtu.
SUBANG JAYA - Nasi lemak dalam bentuk sushi antara menu unik yang terdapat dalam Festival Nasi Lemak di Mydin USJ di sini pada Sabtu.

Pemilik Zara Sushi dan Nasi Lemak, Mohd Shauqi Mustapa, 42, berkata, sushi nasi lemak terhasil bertepatan dengan selera rakyat Malaysia yang gemarkan menu tersebut.

Menurutnya, setiap sushi mengandungi set nasi lemak bersama 'topping' telur, ayam, sotong dan udang yang dipelbagaikan sebagai pilihan buat pelanggan.

Iklan
Iklan

"Sambutan yang diterima menggalakkan dengan sekurang-kurangnya 1,000 sushi terjual di restoran utama di Pandan Prima Ampang serta empat kios lain sekitar Lembah Klang.

"Setiap sushi dijual dengan harga RM1.20 hingga RM2.50 seunit selain turut menyediakan menu utama nasi lemak bungkus berharga RM2," katanya pada perasmian Festival Nasi Lemak di Mydin USJ pada Sabtu.

Iklan
Sushi nasi lemak antara tarikan Festival Nasi Lemak yang berlangsung di Mydin USJ pada Sabtu.

Program berlangsung bermula jam 9 pagi hingga 5 petang telah dirasmikan oleh Pengarah Urusan Mydin, Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin.

Festival ditaja oleh Mydin Malaysia, Kokomo, Vico, Mahsuri dan Sunquick sebagai penaja utama selain Hexa, Sugarbomb, Boh dan lain-lain.

Iklan

Sementara itu penganjur program yang juga Ketua Pengarang Murai, Shahful Shaffiq Mohd Salleh berkata, festival dirangka dalam tempoh singkat itu berjaya menghimpunkan lapan vendor nasi lemak terbaik di Kuala Lumpur antaranya Ready To Eat (RTE) Mydin, The Gangsa Cafe (Nasi Lemak Vegetarian), Cake Together (Nasi Lemak Cafe), Nasi Lemak Zara (Sushi Nasi Lemak), Nasi Lemak BK4, Nasi Lemak Angah, Empire Nasi Lemak, Nasi Lemak Kantin dan Suri Nasi Lemak Panas 223.

"Matlamat program ini untuk menjadikan makanan sebagai satu medium yang menyatukan bangsa dan nasi lemak adalah menu kegemaran rakyat Malaysia.

"Program juga bertujuan mempromosi produk pengusaha nasi lemak yang mempunyai keunikan tersendiri, kita berikan peluang buat pengunjung untuk rasai sendiri nasi lemak terkenal di seluruh Kuala Lumpur dalam satu bumbung," katanya.

Mohd Shauqi (kiri) bersama nasi lemak bungkus dan sushi nasi lemak yang merupakan menu utama di restorannya.

Beliau berhasrat menjadikan Festival Nasi Lemak sebagai acara tahunan dengan penganjuran lebih besar pada masa akan datang melibatkan peserta daripada seluruh Malaysia dan dunia.

Sementara itu, Ameer berkata, pihaknya menyambut baik idea kreatif dan unik dalam usaha menyatupadukan rakyat Malaysia melalui makanan.

"Tahniah kepada penganjur yang kreatif dan patriotik dalam mengekalkan khazanah Malaysia dan menghargai warisan serta secara tidak langsung menjadi medium dalam mengukuhkan semangat perpaduan kaum.

"Saya berharap inisiatif murni ini berterusan dan konsisten sepanjang tahun serta bakal melibatkan lebih ramai lagi usahawan nasi lemak menyertai program ini," katanya.