Proses damai: Israel bukan lagi rakan kongsi Palestin

Iklan
Abbas dalam ucapannya pada Perbahasan Agung Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). - Foto EPA

NEW YORK - Presiden Palestin, Mahmoud Abbas pada Jumaat berkata, Israel memutuskan untuk tidak lagi menjadi rakan Palestin dalam proses damai, lapor Xinhua.

"Jelas bahawa Israel mengabaikan resolusi undang-undang antarabangsa, dan memutuskan enggan menjadi rakan kongsi kami dalam proses damai,” kata Abbas dalam ucapannya pada Perbahasan Agung Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Iklan
Iklan

Beliau berkata, Israel menjejaskan Perjanjian Oslo, yang ditandatangani dengan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dan sengaja memusnahkan penyelesaian dua negara.

"Ini jelas membuktikan Israel tidak percaya kepada keamanan. Mereka percaya kepada mengenakan status quo menerusi kekerasan dan pencerobohan.

Iklan

"Oleh itu, kami tidak lagi mempunyai rakan kongsi Israel untuk berbincang. Dengan ini Israel menamatkan hubungan kontraktualnya dengan kami," kata Abbas.

Palestin tidak mahu menjadi satu-satunya pihak yang masih menghormati perjanjian yang telah ditandatanganinya dengan Israel pada 1993.

Iklan

Kesepakatan itu tidak lagi sah kerana pencabulan berterusan Israel, katanya.

Presiden itu berkata, menjadi hak dan kewajipan Palestin mencari kaedah lain bagi mendapatkan semula hak mereka untuk mencapai keamanan yang dibina atas nama keadilan, termasuk pelaksanaan resolusi yang diterima pakai kepimpinan mereka, khususnya parlimen Palestin.

Palestin juga akan memulakan proses untuk menyertai pertubuhan antarabangsa lain, katanya.

Abbas menyeru Setiausaha Agung PBB berusaha menghuraikan rancangan antarabangsa untuk menamatkan pencerobohan di tanah Palestin bagi mencapai keamanan, keselamatan dan kestabilan di rantau itu, selaras dengan resolusi PBB dan Inisiatif Keamanan Arab.

"Palestin mendambakan keamanan. Marilah kita mewujudkannya demi kestabilan, dan kemakmuran untuk manfaat generasi kita serta semua rakyat di rantau ini," katanya. - Bernama