Polis siasat tiket online Piala AFF Suzuki habis dijual

Iklan
Laporan polis yang tular di media sosial berkenaan penjualan tiket perlawanan akhir pertama.

KUALA LUMPUR - Polis akan menyiasat laporan yang tular berhubung kegagalan membabitkan penjualan tiket dalam talian untuk perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2018 antara Malaysia dan Vietnam.

Sebanyak 10,000 tiket dalam talian yang diperuntukkan telah habis dijual pada pukul 9.30 pagi semalam hingga mengakibatkan sebahagian besar peminat bola sepak kecewa berikutan perkara sama terjadi pada hari pertama jualan dalam talian sebelum ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, jumlah tiket yang diperuntukkan ini sememangnya adalah terhad.

"Jadi, kalau ada laporan polis itu, kita akan siasat.

"Kita akan lihat berdasarkan undang-undang yang ada sebelum tindakan selanjutnya," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, tadi.

Terdahulu, gambar laporan polis yang tidak menunjukkan nama pelapor itu telah tular di laman sosial sejak semalam.

Sebagai rekod, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah menambah 10,000 tiket lagi untuk dijual secara online bagi aksi final Piala AFF 2018 antara Malaysia dan Vietnam pada Selasa ini selepas 20,000 tiket yang diperuntukkan habis dijual.

FAM menerusi laman Facebooknya berkata, kesemua tiket yang diperuntukan habis dijual dalam masa singkat sebaik sahaja Tiket Hotline memulakan jualan setengah jam lebih awal untuk menguji sistem daripada waktu sepatutnya pada pukul 9 pagi.

Justeru, FAM mengambil inisiatif menambah jumlah tiket dalam talian daripada 20,000 keping kepada 30,000 keping.