PEMAIN pertahanan Harimau Malaya, Azam Azmi Murad berazam untuk memberikan aksi terbaik sekiranya diberikan peluang untuk beraksi pada final Kejohanan Piala Raja Thailand ke-48 (48th King’s Cup) berdepan Tajikistan di Chiang Mai pada Ahad.
Menurut pemain daripada skuad bawah 23 tahun (B-23) negara itu, dia gembira apabila diberikan peluang oleh Ketua Jurulatih, Kim Pan-gon untuk beraksi berdepan tuan rumah, Thailand pada 22 September lalu.
Justeru, dia sudah tidak sabar menantikan aksi final berkenaan bagi membantu kejayaan skuad Harimau Malaya.
"Insya-ALLAH, kalau diberikan peluang, saya akan berikan aksi yang terbaik dan bermain dengan elok,” katanya pada Sabtu.
Skuad Harimau Malaya mara ke final 48th King’s Cup apabila menewaskan tuan rumah Thailand 5-3 menerusi penentuan sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat 1-1 hingga tamat masa perlawanan sebenar.
Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian Kim Pan-gon itu bakal berdepan Tajikistan yagn menewaskan Trinidad & Tobago 2-1.
Untuk rekod, kali terakhir skuad negara memenangi Piala Raja Thailand adalah pada edisi 1978 lalu dengan menewaskan Singapura 3-2 pada aksi final di Bangkok.
Sementara itu, seorang lagi pemain pertahanan Harimau Malaya, Declan Lambert turut gembira walaupun hanya berpeluang beraksi selama 10 minit ketika berdepan Thailand.
Katanya, peluang berkenaan sudah cukup untuk membuatnya berasa berbangga dan berharap skuad negara dapat mencipta kejayaan lagi pada aksi final.
"Memang saya agak gugup apabila diturunkan, tetapi dalam masa sama saya gembira mendapat caps pertama bersama Harimau Malaya.
"Apa pun, saya terharu kerana diberikan kepercayaan untuk beraksi walaupun hanya untuk tempoh 10 minit dan diharapkan aksi final kali ini akan berpihak kepada skuad negara dalam usaha menamatkan penantian selama 44 tahun untuk memenangi semula piala ini,” katanya.