Zii Jia sasar ranking nombor dua dunia

Iklan
Lee Zii Jia - Foto Bernama

PEMAIN perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia menetapkan sasaran untuk mengatasi juara dunia dua kali Kento Momota dari Jepun dengan menduduki tempat kedua ranking dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menjelang akhir tahun ini.

Justeru, juara All England 2021 itu berjanji untuk mengumpul sebanyak mungkin mata daripada baki kejohanan tahun ini dalam usaha untuk naik dua anak tangga daripada ranking keempat dunia sekarang.

Iklan
Iklan

"Menyasarkan ranking nombor dua menjelang akhir tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di sini, pada Sabtu.

Zii Jia bakal bersaing dalam tiga kejohanan di Eropah berturut-turut bermula daripada Terbuka Denmark dan Terbuka Perancis bulan depan, diikuti Terbuka Hylo di Jerman, pada November.

Iklan

Penyandang juara Asia itu berkata, beliau kini sedang berusaha untuk meningkatkan prestasinya dan berharap dapat mengembalikan keyakinannya dalam ketiga-tiga perlawanan Eropah itu berikutan persembahan hambarnya di Kejohanan Dunia dan Terbuka Jepun baru-baru ini.

Bulan lepas, Zii Jia tersingkir daripada pusingan ketiga Kejohanan Dunia selepas tumpas kepada pemain China, Zhao Jun Peng, 19-21, 21-11, 19-21 sebelum pemain Malaysia itu mengalami satu lagi kekecewaan apabila tewas kepada Kidambi Srikanth dari India, 20-22, 21-23 pada pusingan pembukaan Terbuka Jepun. - Bernama

Iklan