PUTRAJAYA - Perikatan Nasional (PN) akan mendapatkan penjelasan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang Isnin ini mengenai dakwaan Ahli Parlimen Marang itu mengadakan pertemuan dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk ‘menghidupkan’ semula Muafakat Nasional (MN).
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya juga ingin mengetahui kedudukan sebenar berhubung perkara itu.
Iklan
Iklan
"Saya ada membaca berita (laporan akhbar mengenai dakwaan Abdul Hadi bertemu Ahmad Zahid) dan saya juga berminat untuk mengetahui perkara yang sebenarnya.
"Jadi, saya akan dapatkan pengesahan Abdul Hadi dalam pertemuan yang telah ditetapkan Isnin atau Selasa ini,” katanya ketika sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Sambutan Ulang Tahun keenam Bersatu di sini pada Sabtu.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar yang mendakwa Abdul Hadi dan Ahmad Zahid mengadakan pertemuan untuk menghidupkan semula MN bagi mengelakkan pertembungan dua parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Laporan itu turut menyebut pertemuan tersebut berlangsung Selasa lalu dan keputusan perbincangan itu bakal dibawa ke mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO 30 September ini.
Tambahnya, selain mendapatkan penjelasan Pas, pertemuan itu juga akan turut membincangkan beberapa perkara penting lain sebagai persediaan menghadapi PRU15.