Polis kenal pasti penganjur Himpunan Tolak PRU Awal

Iklan
Polis telah mengenal pasti penganjur Himpunan Tolak PRU Awal di ibu negara, pada Sabtu.

KUALA LUMPUR - Polis akan memanggil penganjur Himpunan Tolak PRU Awal yang dilangsungkan di hadapan sebuah pusat beli-belah, di sini pada Sabtu untuk siasatan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya telah kenal pasti penganjur yang terlibat dalam himpunan itu.

Iklan
Iklan

"Polis telah kenal pasti penganjur himpunan dan kita akan panggil secepat mungkin untuk direkod keterangan.

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012," katanya pada Sabtu.

Iklan

Mengenai himpunan itu, beliau berkata, tiada insiden tidak diingini berlaku dan pihaknya telah menjalankan penugasan kawalan keselamatan sepanjang tempoh itu.

Himpunan yang dihadiri lebih 30 peserta itu dimulakan dengan ucapan menolak pilihan raya umum (PRU) diadakan pada musim tengkujuh.

Iklan
Syed Saddiq antara yang hadir pada Himpunan Tolak PRU Awal.

Tinjauan Sinar Harian mendapati peserta mula tiba di lokasi himpunan pada jam 3.30 petang dengan membawa plakad bertulis #nyawadulubaruPRU, 'sanggup redah banjir untuk buat PRU' dan 'pemimpin sibuk berpolitik'.

Difahamkan peserta yang hadir terdiri daripada Parti Muda dan Mahasiswa Muda yang mula bersurai kira-kira jam 4.45 petang.

Antara yang hadir Presiden Parti Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pinji, Howard Lee Chuan How.

Menurut Syed Saddiq, pihaknya menggesa kerajaan supaya tidak mengadakan PRU15 semasa musim banjir.

Katanya, keselamatan dan kesejahteraan rakyat seharusnya menjadi keutamaan kepada kerajaan berbanding bermain politik.

"Apabila menteri cari undi, rakyat mati dan kita tidak mahu lagi peristiwa sama (banjir) seperti tahun lalu berulang tahun ini, kita tidak mahu dikejutkan dengan banjir.

"Ini bukan masa PRU tapi masa untuk semua parti politik, kerajaan dan pembangkang bersepadu mencari penyelesaian untuk pastikan persediaan banjir dirancang rapi bukan turun pancing undi," katanya ketika berucap di Himpunan Tolak PRU Awal di sini.

Khamis lalu, polis mengesahkan tidak menerima sebarang notis pemakluman berhubung penganjuran himpunan terbabit.