'Mampu beres dalam 90 minit' - Pan-gon

Iklan
Pan-gon - Foto FB FAM

PENGENDALI Harimau Malaya, Kim Pan-gon yakin skuad kendaliannya itu mampu menamatkan aksi final Piala Raja Thailand ke-48 (48th King’s Cup) dalam tempoh 90 minit berbanding berlanjutan hingga ke penentuan sepakan penalti seperti ketika berdepan Thailand sebelum ini.

Menurut Pan-gon, kesebelasan pemain kini dilihat bersedia dalam segala aspek dalam usaha mencatatkan kejayaan biarpun bakal berdepan pasukan hebat seperti Tajikistan pada aksi final yang dijadualkan berlangsung pada Ahad.

Iklan
Iklan

Justeru katanya, pihaknya cuba sedaya upaya bagi memastikan skuad negara memberikan aksi terbaik seterusnya membawa pulang Piala Raja Thailand yang kali terakhir dimenangi pada 1978 lalu.

"Namun, kita akan tetap cuba untuk melakar kejayaan sekali gus menamatkan penantian 44 tahun skuad negara untuk memenangi piala ini (Piala Raja Thailand),” katanya pada sidang akhbar pra perlawanan akhir di Chiang Mai pada Sabtu.

Iklan
Pemain Harimau Malaya gigih menjalani latihan menjelang aksi final berdepan Tajikistan pada Ahad. - Foto FB FAM

Untuk rekod, skuad Harimau Malaya mara ke final setelah menewaskan Thailand 5-3 menerusi penentuan sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat 1-1 setelah tamat masa sebenar perlawanan.

Kali terakhir skuad negara muncul juara adalah pada edisi 1978 lalu apabila menewaskan Singapura 3-2 pada aksi final di Bangkok.

Iklan

Dalam pada itu, Pan-gon berkata, pihaknya juga sudah merencana percaturan taktikal tesendiri bagi berdepan Tajikistan pada aksi final berkenaan.

Bagaimanapun katanya, kesemua pemain diharap dapat menangani segala tekanan bagi mengharungi aksi final berkenaan.

"Bagi saya, Tajikistan merupakan pasukan yang baik, terutamanya dari segi fizikal tetapi dalam masa sama, skuad Harimau Malaya juga berhak untuk berada di sini (final).

"Biarpun berdepan tekanan, namun diharapkan pemain berjaya menanganinya dan mempamerkan semangat juang tinggi.

"Jika perlawanan tidak ditamatkan dalam tempoh 90 minit pun, saya tahu pemain mampu menangangi situasi berkenaan,” jelasnya.

Pan-gon juga tidak menolak kemungkinan bagi membuat sedikit rombakan berikutan masalah kecederaan tonggak tengah, Nor Azam Azih.

Katanya, sesiapa sahaja boleh diturunkan bagi mengisi kekosongan ditinggalkan pemain berkenaan seterusnya memantapkan posisi tengah skuad Harimau Malaya.

"Anda akan dapat lihat beberapa rombakan pemain dibuat esok (Ahad) dan bagi saya, sesiapa sahaja boleh beraksi untuk perlawanan ini,” jelas beliau.

Sementara itu, Pan-gon berkata, Tajikistan merupakan pasukan dari Timur Tengah dan diakui mempunyai kelebihan daripada segi fizikal dan corak taktikal yang diamalkan mereka juga sudah pastinya berbeza.

"Kita juga telah menyediakan analisis lengkap menjelang perlawanan ini. Jelas, mereka (Tajikistan) lebih kuat tetapi pada masa sama kita juga menantikan pemain kita untuk memberikan aksi terbaik dengan penuh keyakinan," katanya.

Dua pemain Harimau Malaya, Declan Lambert dan Mohamadou Sumareh berebut bola pada sesi latihan pasukan menjelang aksi final berdepan Tajikistan. - Foto FB FAM