SKUAD Harimau Malaya dilihat mampu merealisasikan hasrat membawa pulang trofi Piala Raja Thailland (King’s Cup) sekali gus menamatkan penantian 44 tahun bagi memenangi trofi berkenaan yang kali terakhir dimenangi pada edisi 1978 lalu.
Keyakinan itu disuarakan tonggak tengah Harimau Malaya, Brendan Gan berdasarkan kepada kapasiti pemain yang beraksi dalam skuad kendalian Kim Pan-gon itu kali ini.
"Kami juga tahu harapan peminat cukup tinggi yang mahukan piala dan kami juga sebagai pemain turut mahukan kemenangan dalam semua kejohanan disertai tidak kira ia aksi persahabatan, pertunjukkan atau aksi kelas A...kami mahu menang semuanya.
"Apa pun yang penting, kesemua pemain perlu memberikan aksi terbaik seterusnya memenangi aksi final kali ini,” katanya pada Sabtu.
Untuk rekod, skuad negara mara ke final setelah menewaskan Thailand menerusi penentuan sepakan penalti 5-3 setelah kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam tempoh perlawanan sebenar, pada Khamis lalu manakala manakala Tajikistan menewaskan Trinidad & Tobago 2-1 dalam satu lagi perlawanan.
Beliau berkata, walaupun Tajikistan mungkin turun selaku pilihan berdasarkan kedudukan ranking lebih tinggi, namun ia bukan penghalang buat skuad kebangsaan yang berada di ranking ke-148 untuk mencipta kejutan.
"Saya sudah lalui pelbagai ujian dalam hidup di mana tiada perkara negatif difikirkan sebaliknya saya ambil semua perkara secara positif.
"Kami juga fikir secara positif dan yakin dengan kemampuan kami, paling penting kami harus berikan sepenuh tumpuan dalam aksi nanti," jelasnya.
Sementara itu, Brendan menegaskan tiada istilah kesebelasan utama dalam skuad kali ini di mana kesemua pemain boleh beraksi dalam kesebelasan utama pada bila-bila masa.
Oleh itu katanya, walau siapa pun yang diberikan peluang beraksi nanti, mereka perlu mempamerkan aksi terbaik bagi memastikan kemenangan menjadi milik skuad negara.
"Sebenarnya tidak ada istilah ‘kesebelasan utama’ dalam skuad kali ini kerana daripada 25 pemain yang ada, sesiapa sahaja berpeluang untuk beraksi.
"Cuma yang penting kesemua pemain perlu bersedia, sama ada yang beraksi dalam kesebelasan utama mahu pun yang berada di bangku simpanan,” ujarnya.