Merdeka jiwa pembaca

Iklan
Pelakon semula watak Tunku Abdul Rahman, Che' Kem pada sambutan Hari Malaysia 2022 di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan A' Famosa Banda Hilir pada 16 September lalu.

APAKAH yang difahami sebagai seorang warga Malaysia setelah 65 tahun merdeka? Apakah yang telah dibaca sekian buku sepanjang tempoh menjadi warga Malaysia? Siapakah pengarang tanah air yang menjadi ingatan dalam jiwa hasil daripada garapannya?

Soalan-soalan sebegini rupa yang menjelma dalam fikiran sebaik sahaja melihat kibaran bendera Jalur Gemilang di merata-rata.

Iklan
Iklan

Ya, kali ini sambutan hari kemerdekaan tanah air sangat bermakna. Lantaran sambutannya telah mencecah 65 tahun usia.

Ibarat hayat manusia. Angka 65 tahun menunjukkan kematangan yang luar biasa. Angka 65 tahun menunjukkan kewibawaan dan jati diri manusia.

Iklan

Bagaimana dengan wajah karya sastera negara? Apakah yang telah dibangunkan penulis untuk dihidangkan kepada pembaca?

Adakah setelah 65 tahun negara menyambut ulang tahun kemerdekaan, karya sastera diisi dengan hidangan yang membugar jiwa?

Iklan

Perhatikan deretan novel yang terjual di toko buku negara. Perhatikan juga buku-buku sastera yang mengisi rak khutub-khanah seluruh tanah air yang kita ada.

Apakah tajuk-tajuknya menggambarkan kemulukan untuk anak bangsa? Bagaimana anak muda yang baharu mengenali karya sastera akan terpesona?

Tanggungjawab kita bersama-sama dalam memacu jiwa warga tanah air tercinta. Antara pengarang dan pembaca perlunya ada kesedaran untuk memartabat bangsa, dan bahasa.

Antara pengarang dan pembaca perlunya ada amanah yang tergalas di pundak bahawa peri pentingnya semangat cintakan nusa.

Oleh sebab itu, seseorang pengarang perlu menulis hasil karya yang dapat membangun jiwa pembaca.

Sesebuah karya yang terhasil sewajarnya ditulis dengan renungan maknawi, bukannya lahiri semata-mata.

Apakah falsafah yang mahu diungkap pengarang untuk pembaca? Apakah bahasa dan gaya bahasa yang dipamerkan mencerminkan bangsa dan nusa?

Musabab itu, seseorang pengarang perlu memikirkan tema dan persoalan yang hendak diutuskannya. Bukan sekadar tema cinta yang menjadi kegilaan anak muda. Apakah tema dan persoalan yang langka dalam karya sastera?

Lakukanlah penyelidikan dan pembacaan yang rapi untuk menulis sesuatu yang bermakna. Misalnya tema dan persoalan budaya pakaian dan makanan dalam novel dan cerpen Melayu jarang dikemuka. Menerusi cerpen Melayu, antara yang menulis tentang budaya makanan Melayu boleh dibilang dengan jari sahaja.

Perhatikan tajuk-tajuknya, iaitu Nasinya Tumpah (Fatimah Busu), Tulang Pekasam Ikan Puyu (Azizi Haji Abdullah), Ambuyat (Shuhaibun Yusof), Lemang Nan Sebatang (Nisah Haron), Jeruk Maman Emak (Lee Keok Chih), Cinta Gendang Kasturi (Faisal Tehrani), dan Gulai Tempoyak Ikan Sebarau (Malim Ghozali PK). Mutakhir ini muncul cerpen Pulut Serunding Buat Nazihah (Shahkang), Setalam Halwa Maskat (Shahkang), Bihun Goreng Berkuah Laksa (Nordin Saad), Serondeng Nasi Pulut (Jamilah Epin), Kerana Kuih Koci (Fathul Khair Mohd Dahlan), Sesar Unjur Kampung Belawai (Amaruszati Noor Rahim), dan Penggemar Karipap dan Momentum Hari Lahir (Ariff Mohamad).

Bagaimana dengan novel Melayu pula? Tema dan persoalan tentang budaya makanan Melayu amat langka.

Maka, hal ini perlu difikirkan pengarang untuk anak bangsa. Lantaran dalam ranah budaya bangsa, negara kaya dengan warisan budaya makanan yang beraneka cita rasa. Deretan makanan Melayu yang unik dan istimewa misalnya dodol, wajik, bauhulu dan sebagainya boleh dijadikan bahan pengkaryaan.

Malahan karya sastera Melayu juga kekurangan isu dan persoalan tentang busana yang negara ada. Pengungkapan tentang baju kurung Riau, baju Melayu, baju kurung Pahang, kain songket, batik dan tenunan jarang ditampilkan pengarang khususnya anak muda.

Warisan

Pengutaraan tentang warisan budaya Melayu dalam seni bina rumah Melayu dan perihal ukiran juga jarang dikemukakan pengarang.

Segala yang berkisar tentang seni warisan Melayu sewajarnya dibangunkan pengarang dalam karya untuk kesedaran pembaca tentang keunikan dan keistimewaan tanah air, malahan sebagai kecintaan kepada bangsa dan nusa.

Novel seperti Warisnya Kalbu (Sri Rahayu Mohd. Yusop) yang berkisar tentang pantun Melayu, Ngayau (Amil Jaya) tentang pribumi masyarakat Bumi Kenyalang, Bangsal (Wan Ahmad Ismail) mengenai seni budaya Darul Iman dan deretan karya lain wajar dijadikan sebagai pasak merdeka jiwa pembaca.

Pengarang tanah air rata-ratanya gemar mengulang isu yang sama. Kisah cinta, kisah berantakan rumah tangga, kisah pergolakan politik, dan kisah kebejatan sosial anak muda, itu yang digemari untuk menghasilkan sebuah karya.

Seolah-olah tanah air ketandusan isu dan persoalan yang hendak dipaparkan untuk pembaca. Malahan pembaca pula tidak mengetahui apakah bahan bacaan yang perlu mereka teroka, dan menelaahnya.

Saban petang pula, di kaca televisyen diulang tayang adaptasi novel popular kepada drama yang asyik mahsyuk dengan cinta yang lara.

Pengungkapan cinta antara manusia yang diulang-ulang tanpa tujuan yang jelas akan menyesak kepala.

Seolah-olah tanah air ketandusan pengarang yang bijaksana, dan pembaca dibiarkan dalam keadaan teraba-raba.

Fenomena yang wajar dibendung, dan mudah-mudahan hasil karya yang mengandungi nilai luhur akan sentiasa berada dalam hati pembaca.

Kalungan tahniah buat sama ada pembikin drama atau filem yang sudi menjadikan novel dan cerpen yang bermutu sebagai adaptasi.

Antaranya novel Ayahanda (Azizi Haji Abdullah), Korban Kasih (Fatimah Saidin), Cinta Madinah (Abu Hassan Morad), Salju Sakinah (Zaid Akhtar) sebagai drama, dan novel Berpaut Di Dahan Rapuh (Harun Hassan), Langit Petang (A Samad Said), Ranjau Sepanjang Jalan (Shahnon Ahmad), Mira Edora (Khadijah Hashim), dan Jogho (S Othman Kelantan) sebagai filem.

Setelah 65 Tahun negara merdeka, kita nantikan karya besar lainnya diadaptasi menjadi drama sebagai bahan bacaan dan santapan fikir warga tanah air tercinta.

Hayati pesan Najwa Shihab:"Kemerdekaan yang gagal diisi hanya akan menjadi narasi yang penuh basa-basi”, perlulah dipasak kukuh dalam jiwa!

*Profesor Madya Dr Kamariah Kamarudin ialah Penyelaras Seni Persembahan,Jabatan Bahasa Melayu,Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia