Cari formula terbaik tingkat ekonomi Kedah

Iklan
Mukhriz (tiga, kanan) bergambar bersama urusetia bengkel penambahbaikan prosedur pemajuan dan bayaran-bayaran pemajuan negeri Kedah, yang berlangsung selama tiga hari.

ALOR SETAR - Kerajaan negeri mencari formula dan strategi terbaik dalam menggubal dasar pembangunan ekonomi dan pembangunan fizikal Kedah, agar mampu memberi pulangan dalam tempoh cepat.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, beliau tidak akan membiarkan nadi pembangunan ekonomi Kedah berdenyut lesu atau sekadar bertahan untuk survival hidup semata-mata.

Iklan
Iklan

Menurutnya, beberapa projek berimpak tinggi yang diumumkan sebelum ini antaranya pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) bernilai RM1.6 bilion, pembangunan Hub Industri Pembuatan dan Logistik di Sidam, Lebuhraya Koridor Utara dan Taman Perindustrian Petrokimia di Gurun, bakal menjadi pemangkin kerancakan ekonomi negeri.

"Ini termasuk komitmen meningkatkan pertumbuhan koridor ekonomi negeri melalui projek berimpak tinggi lain seperti Kedah Rubber City, Kedah Science and Technology Park (KSTP) dan Special Border Economic Zone (SBEZ) yang diumumkan pada Bajet Kedah 2019,” katanya, ketika berucap merasmikan bengkel penambahbaikan prosedur pemajuan dan bayaran-bayaran pemajuan negeri Kedah hari ini.

Iklan

Mukhriz berkata, pihaknya menjangkakan pelaburan melalui kesemua projek itu akan memberi pulangan ekonomi besar dan cepat kepada negeri dan rakyat.

"Kita juga mengalu-alukan inisiatif pelaburan swasta asing dan domestik. Kita mahu lonjakkan pertumbuhan ekonomi negeri dalam pelbagai sektor. Keterbukaan dasar ekonomi negeri mampu menjadikan Kedah negeri yang produktif dan berpendapatan tinggi,” katanya.

Iklan

Sehubungan itu, menurutnya, jentera kerajaan negeri dan Kerajaan Tempatan perlu segera memainkan peranan dan proaktif memacu perubahan memulihkan iklim ekonomi negeri, agar seiring dengan perkembangan ekonomi nasional mahupun global.

"Antara perubahan yang dicadangkan, menyediakan kawasan khas beserta infrastruktur lengkap yang mampu penuhi keperluan pelabur; memikirkan insentif pelaburan yang boleh dijadikan faktor tarikan pelaburan asing dan domestik serta pertingkatkan kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan,” katanya.

Mukhriz berkata, potensi pertumbuhan ekonomi dan pembangunan fizikal memerlukan komitmen dan kecekapan pentadbiran dalam mengurus pelaburan dalam bentuk permohonan cadangan pemajuan untuk kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pihak berkuasa negeri.

"Saya sarankan agensi kerajaan, khususnya Pentadbiran Tanah Daerah dan Negeri dan PBT perkasakan tadbir urus masing-masing dalam mendepani tuntutan pelaburan yang kian meningkat,” katanya.

Menurutnya, kerajaan tidak lagi mahu terikat dengan sistem penyampaian dan prosedur kerja yang konvensional sehingga membebankan rakyat.

"Ini termasuk kelemahan sistem penyampaian seperti kelewatan tempoh masa sesuatu proses kerja, perletakan syarat-syarat permohonan yang rumit, prosedur berulang-ulang serta tata kerja lapuk,” katanya.

Mukhriz berkata, sudah tiba masanya, dua komponen utama kerajaan iaitu pemimpin politik selaku pembuat dasar dan penjawat awam selaku pelaksana di peringkat pentadbiran sepakat mencari penyelesaian dengan menyuntik idea-idea baharu ke arah memodenkan perkhidmatan.

Menurutnya, ini kerana pencapaian ekonomi Kedah masih kurang memberangsangkan.

Menurut data terkini Laporan Ekonomi Negeri 2017 Jabatan Perangkaan Malaysia, Kedah menyumbang 3.3 peratus Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) kepada Malaysia, selain mencatatkan pertumbuhan KDNK pada paras 5.0 peratus.

Sektor perkhidmatan dan pertanian menjadi penyumbang utama ekonomi negeri dalam tempoh itu.

"Walaupun lebih baik berbanding 3.2 peratus dicatatkan tahun sebelumnya, ia masih kurang menggalakkan kerana bawah paras pertumbuhan nasional, 5.9 peratus,” katanya.

Mukhriz berkata, KDNK Per Kapita, pula menunjukkan Kedah mencatatkan kadar RM20,327 di mana jauh ketinggalan berbanding KDNK Per Kapita dicatatkan lima negeri lain, seperti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM111,321), Pulau Pinang (RM49,873), Sarawak (RM49,327), Selangor (RM48,091) dan Melaka (RM46,015).