BEDONG –"Saya tidak tahu kisah kami jadi tular di Facebook, kami malu namun dah maafkan depa yang buat tu."
Demikian jelas Zuraida Zainol, 41, dari Kampung Baru Sungai Puntar, Bedong yang terkejut apabila kisahnya dan suami, Mohamad Nasir Mat Sa’ad, 43, tular di media sosial.
"Ada juga pihak sekolah dan saudara bertanyakan hal yang sama namun demi ALLAH kami tak minta simpati orang ramai, anak-anak pun malu bila jadi macam ni,” jelasnya membetulkan kedudukan sebenar.
Sebelum ini, tular di media sosial mengatakan pasangan suami isteri yang mempunyai empat anak berusia 5,12,15 dan 16 tahun itu hidup sangat daif.
Selain tinggal dalam rumah yang akan runtuh bila-bila masa, rumah mereka juga tiada bilik dan kelengkapan seperti peti ais, mesin basuh, televisyen, perabot, sinki dan sebagainya.
Tinjauan Sinar Harian mendapati, rumah mereka terletak jauh dalam kawasan ladang kelapa sawit, berjarak kira-kira 5 kilometer dari laluan utama, Jalan Persekutuan Alor Setar-Sungai Petani, di mana dua anak dihantar setiap hari bersekolah di Bedong manakala dua lagi di Ladang Harvard.
Menurut Zuraida, dia ada menerima penyumbang yang berkunjung ke rumahnya beberapa hari lalu namun tidak mengetahui bahawa kisah mereka sekeluarga disebarkan.
"Depa memang ada mai rumah dan tengok, tapi tak sangka benda nak jadi macam ni,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau menjelaskan, pada 2018, keluarganya telah menerima bantuan dari Zakat Kuala Muda berupa Skim Baiki Rumah dan siap kira-kira tujuh bulan lalu terletak di bahagian belakang rumah asal.
"Setakat ini memang bekalan air dan elektrik ada di rumah lama ni sebab kami tarik dari rumah mak di sebelah, kalau nak pasang baru di rumah Zakat bagi tu, kena sediakan RM2,000. Manalah kami mampu.
"Jadi kami biar dululah kerana utamakan persekolahan anak-anak yang lebih penting, bila ada orang mai tengok rumah asal memang tak ada bilik, tak ada kemudahan tetapi kami banyak pi ke rumah mak juga.
"Kami faham niat orang yang tular tu baik, dia pun dah minta maaf, tak mau panjang-panjanglah, kami anggap positif sahaja, mungkin depa nak tolong kami,”katanya.
Sementara itu, Mohamad Nasir berkata, pekerjaannya sebagai buruh ladang berpendapatan RM650 sebulan dengan harapan mampu menyara empat orang anak, tidak pernah menagih simpati orang ramai bagi mendapatkan bantuan.
"Itu bukan dari pihak kami, orang lain yang tularkan, namun kami menerimanya secara positif. Nak kata daif sangat tu tak la jugak, setakat ini masih bertahan, walaupun susah, kami masih hantar anak-anak ke sekolah setiap hari sebab tak mau abaikan pelajaran mereka,”katanya.
Sementara itu, beberapa kakitangan Pejabat Zakat Kuala Muda turut melakukan kunjungan ke rumah sama bagi mengenal pasti kedudukan terkini keluarga itu selain membuat pemeriksaan ke atas status bantuan yang telah disalurkan selama ini.
Pegawainya, Mohd Shabudin Ahmad berkata, keluarga berkenaan telahpun tersenarai sebagai penerima zakat termasuk Skim Baiki Rumah, Bantuan Tahunan Zakat dan Bantuan Awal Persekolahan bagi meringakan beban.
Orang ramai masih boleh membantu keluarga ini melalui akaun Bank Simpanan Nasional bernombor 02116-41-00005331-7 atas nama Mohamad Nasir.