[VIDEO] UMNO tidak gentar PN labelkan BN musuh

Iklan
AHMAD

PONTIAN - UMNO tidak gentar apabila Perikatan Nasional (PN) mengisytiharkan BN adalah musuh utama gabungan itu yang perlu dilawan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, tindakan meletakkan BN sebagai musuh PN sudah diduga memandangkan Bersatu sebelum ini merupakan rakan komponen Pakatan Harapan (PH) pada PRU14.

Iklan
Iklan

"Ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka, BN berdepan, BN, PH dan Pejuang. Bagi PRU15 kali ini, kita tunggu dan lihat BN akan berdepan siapa. Pastinya BN akan berdepan dengan PH dan parti yang pernah bersama mereka sebelum ini iaitu Bersatu.

"Kita jangan lupa Bersatu, PKR, DAP, dan Amanah merupakan lawan BN ketika PRU14. Oleh itu selagi tiada kesepakatan dengan mana-mana pihak bererti parti itu akan berdepan dengan BN sebagai lawan politik," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Walimatulurus Perdana Peringkat Daerah Pontian di Dewan Serbaguna Benut di sini pada Ahad.

Pada Sabtu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata semua parti komponen gabungan perlu sepakat bahawa musuh utama gabungan itu pada PRU15 adalah BN.

Iklan

" Sebelum ini, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyatakan BN bukan musuh utama PN, tetapi Muhyiddin pula sebaliknya.

"Kelihatan mungkin seperti retak menanti belah apabila kepimpinan utama PN ini tidak sehaluan. Kita tunggu dan lihat perkembangan selanjutnya," katanya.

Pada 20 September lalu, Takiyuddin menyatakan Pas sama sekali tidak bersetuju dengan sebarang ketetapan atau pendirian yang menggambarkan BN sebagai musuh dalam PRU15.

Sebaliknya, Pas menegaskan bahawa musuh sebenar penyatuan ummah adalah PH dan sekutu-sekutunya termasuk khemah besar.