TAIPING - Pembahagian kerusi dalam kalangan komponen parti PH di Perak sudah pun selesai.
Pengerusi PH Perak, Datuk Seri Mujahid Yusof berkata, biarpun terdapat satu hingga tiga peratus kerusi yang belum dimuktamadkan, ia akan diputuskan oleh pimpinan PH di peringkat pusat.
Menurutnya, rundingan bagi pengagihan kerusi PH di peringkat negeri Perak berjalan dengan baik.
"Peringkat kami, saya boleh bagi jaminan dah selesai," katanya kepada pemberita selepas Pelancaran Rasuah Busters Parlimen Taiping di sebuah hotel di sini pada Ahad.
Dalam pada itu, Mujahid menjelaskan, PH Perak sudah bersiap sedia sejak setahun yang lalu bagi menghadapi pilihan raya umum.
Beliau yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) berkata, beberapa program sedang diatur bagi memperkukuhkan jentera pilihan raya dalam kalangan parti-parti gabungan.
"Kita akan ada program besar pada hujung Oktober nanti yang akan dimaklumkan kemudian setelah kita adakan mesyuarat agung PH pada 8 Oktober ini.
"Kita juga akan lancarkan jelajah PH peringkat negeri Perak," katanya.