Peniaga gagal tuntutan saman MDPP

Iklan
Shaharuddin (dua dari kanan) bertemu dengan para peniaga yang juga ahli Pembekal di Mahkamah Tinggi Kota Bharu. ( Gambar dalam : Kamarzaman)

KOTA BHARU - Persatuan Peniaga Kecil Dalam Pasar Pasir Puteh Kelantan (Pembekal) gagal dalam tuntutan saman terhadap Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) berkait isu ruang niaga pasar baharu, Pasar Siti Hajar yang didakwa lebih kecil berbanding pasar lama selain tidak menepati janji di Mahkamah Tinggi di sini pada Ahad.

Keputusan dibuat Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abbas dengan menolak dua tuntutan yang dikemukakan persatuan itu sebagai plaintif.

Iklan
Iklan

Turut ditolak tuntutan balas oleh MDPP sebagai defendan terhadap tuntutan pertama persatuan terbabit.

Plaintif memfailkan tuntutan saman menerusi Tetuan Shaharuddin Hidayu & Marwaliz pada 27 Februari 2017 dengan kes pertama menamakan MDPP sebagai defendan manakala kes kedua Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kelantan (defendan pertama) serta kerajaan negeri Kelantan (defendan kedua).

Iklan

Mohamad Abazafree dalam penghakimannya berkata, plaintif tidak dapat membuktikan melalui undang-undang bahawa wujudnya janji yang diberikan oleh MDPP terhadap spesifikasi Pasar Siti Hajar dan gagal membuktikan kerajaan negeri bertindak secara salah berkait kelulusan pembangunan pasar baharu terbabit.

"Mahkamah mendapati MDPP bertanggungjawab memberi keselesaan kepada peniaga dan masyarakat setempat bahkan peniaga sepatutnya bersama-sama dengan MDPP dalam usaha menjadikan Pasar Siti Hajar lebih selesa serta berkembang.

Iklan

"Kerajaan negeri Kelantan serta Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Kelantan pula mempunyai kuasa serta tidak patut dipersalahkan kerana meruntuhkan pasar lama untuk pembangunan pasar baharu itu.

"Oleh demikian, mahkamah dengan ini bertanggungjawab menolak kesemua tuntutan dengan kes pertama dan kedua serta menolak tuntutan balas MDPP bagi kes pertama tanpa kos,” katanya.

Berdasarkan penyata tuntutan, plaintif menuntut ganti rugi am, teladan dan khas akibat kerugian yang didakwa dialami kerana berpindah ke pasar baharu.

Plaintif diwakili peguam, Shaharuddin Mohamed dan Mohd Marwaliz Mahmud manakala defendan diwakili peguam Noor ‘Aini Ismail, Noor Hamiza Ab Hamid (mewakili defendan pertama serta Adam Mohamed@Mamat (mewakili defendan kedua).

Sementara itu, Pengerusi Pembekal, Kamarzaman Che Ngah menerima keputusan mahkamah dengan reda selepas lima tahun mengharungi perbicaraan.

"Walaupun gagal dalam tuntutan, kami bersyukur kerana ada perubahan yang dilakukan oleh MDPP di Pasar Siti Hajar termasuk membesarkan ruang niaga sebahagian peniaga dan tambahan tapak pasar baharu dalam pembinaan berhampiran pasar terbabit.

"Kami ada tempoh 30 hari untuk memikirkan sama ada mahu membuat rayuan atau tidak terhadap keputusan itu,” jelas beliau.

Ends

Shaharuddin (dua, kanan) bertemu dengan para peniaga juga ahli Persatuan Peniaga Kecil Dalam Pasar Pasir Puteh Kelantan (Pembekal) di Mahkamah Tinggi Kota Bharu.

KAMARZAMAN CHE NGAH

Pengerusi Persatuan Peniaga Kecil Pasar Besar Pasir Puteh (Pembekal)