Miskin bandar di Lembah Subang dibantu

Iklan
Ariah (kiri sekali) bersama antara penerima menerima bantuan barang keperluan harian pada Ahad. (gambar dalam : Norzaida)

PETALING JAYA - Seramai 100 orang dalam kalangan golongan miskin bandar dibantu menerusi program Santuni Masyarakat Miskin Bandar Lembah Subang di sini pada Ahad.

Program kerjasama yang terjalin antara Mitsubishi Motors, KPJ Healthcare Berhad dan Kumpulan Media Karangkraf ini sejajar dengan usaha membantu masyarakat kurang mampu.

Iklan
Iklan

Salah seorang penerima, Norzaida Ismail, 59, berkata, pemberian sumbangan keperluan makanan harian tersebut sedikit sebanyak membantu meringankan beban kewangan ditanggung.

"Selain barangan asas, bantuan pemeriksaan kesihatan percuma turut disediakan dan ini secara tidak langsung dapat membantu kami membuat pemeriksaan kesihatan,” kata ibu tunggal ini.

Iklan

Mengulas tentang bantuan tersebut, dia berkata, sumbangan keperluan makanan harian yang diberikan sudah memadai memandangkan ramai yang susah di bandar ketika ini.

"Saya menerima bantuan bulanan kerajaan dan wang yang diterima nanti akan digunakan untuk perbelanjaan lain kerana kami terima bantuan keperluan harian ini,” ujarnya.

Aktiviti gotong royong membersih kawasan pangsapuri turut dijalankan oleh kira-kira 100 sukarelawan

Iklan

Sementara itu, Ariah Mahamad, 41, berkata, pemberian seperti ini perlu diteruskan dari masa ke masa bagi membantu golongan miskin bandar kerana mereka tiada tempat untuk meminta bantuan.

"Terima kasih kepada semua pihak dan agensi terlibat yang prihatin terhadap warga miskin bandar," katanya selepas menerima bantuan disampaikan Ketua Jualan Mitsubishi Motors Malaysia, Johan Adha.

Program yang berlangsung di Pangsapuri Lembah Subang Ara Damansara itu turut dihadiri Ketua Pemasaran dan Penjenamaan Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin.

Penerima bantuan yang juga merupakan penghuni di Pangsapuri Lembah Subang Ara Damansara itu turut ditawarkan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan secara percuma oleh KPJ Damansara.

Selain itu, aktiviti gotong royong membersih kawasan pangsapuri berkenaan turut dijalankan oleh kira-kira 100 sukarelawan dengan kerjasama penduduk setempat bermula sejak pagi.

Dalam pada itu, kanak-kanak turut berpeluang melibatkan diri dalam pelbagai acara dan permainan yang menarik disediakan oleh pihak Sinar Rovers di lokasi program berlangsung.

Pemeriksaan kesihatan secara percuma oleh KPJ Damansara.