SERDANG - Tiada istilah terlambat dalam menimba ilmu keibubapaan bahkan golongan warga emas juga masih releven untuk 'belajar' bagaimana membentuk keluarga berlandaskan al-Quran.
Pengasas Akademi Building Amazing Khalifah (BAK), Roslina Othman, berkata, pendekatan dalam mendalami ilmu keibubapaan pada masa kini banyak tertumpu kepada penyelesaian jangka pendek menyebabkan pengisiannya dilihat hanya releven untuk golongan ibu bapa muda dalam menyelesaikan masalah semasa.
Sebaliknya beliau berkata, ilmu keibubapaan yang berlandaskan al-Quran akan kekal releven untuk semua peringkat umur dengan matlamat membina perubahan budaya dalam keluarga ke arah yang lebih baik.
"Untuk peringkat awal, mak dan ayah yang tahu tentang al-Quran, mereka yang akan membentuk anak-anak dengan sistem al-Quran yang benar. Jika anak mereka sudah besar, boleh bawa anak-anak untuk sama-sama mendengar jadi perubahan itu lebih cepat kerana saling mengingati.
"Sentiasa perlu ada perubahan dalam hidup kita kerana perubahan itu bermula dari dalam diri kita menggunakan modul yang sama iaitu al-Quran.
"Ibu bapa yang lanjut usia juga penting kerana ia adalah pecutan terakhir. Kata atok sentiasa berkesan untuk cucu.
"Atok belum terlambat untuk merubah tradisi keluarga mereka kerana dia adalah tunggak kepada anak-anak dia dan ikon kepada keturunan dan cucu-cucunya," katanya kepada Sinar Harian ditemui sempena Program Amazing Parents Saving Families, di Dewan Auditorium Rashdan Baba, UPM, di sini, hari ini.
Program anjuran BAK dengan kerjasama Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI) itu menghimpunkan kira-kira 300 ibu bapa kanak-kanak Tadika Amazing Seed dan Al-Baghdadi Playtime Centre (APC).
Antara pengisian yang dibuat adalah 'Amazing Family Management', Family Saving', 'Bengkel Plan Your True Succes' dan 'What is Hoject'.
Sementara itu, Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail, berkata, beliau memberi tumpuan terhadap pengisian bagi program berkenaan di mana peserta program akan menyiapkan perancangan keluarga berlandaskan surah At-Tahrim ayat 6 iaitu memelihara diri dan keluarga dari api neraka.
Katanya, resolusi yang dibuat akan mendorong keluarga terlibat ke arah melakukan perubahan berdasarkan apa yang telah dirancang untuk tempoh enam bulan ke setahun.
"Dalam tempoh itu mereka boleh menyemak pencapaian atau kemajuan yang telah mereka aturkan.
"Mungkin dulu tak solat, jadi solat, dulu selalu cakap perkara-perkara teruk, jadi tambah baik dari segi pengurusan emosi dalam rumah. Tak perlu banyak, tetapi ada kemajuan.
"Program sebegini penting kerana masyarakat kita mungkin kurang peka atau kurang terdedah dengan kaedah ini terutamanya mereka yang mahu berkahwin," katanya.
Jelasnya lagi, program begini bukan saja sesuai untuk golongan ibu bapa tetapi juga untuk setiap orang yang mahu membina keluarga sebagai persediaan membentuk keluarga berlandaskan al-Quran.