GERIK - Kalau sudah rezeki, dengan hanya seekor ikan pun boleh menjadi juara. Itu yang berjaya dibuktikan seorang suri rumah, Siti Mariyam Abdullah, 48, apabila dia dinobatkan johan pertandingan menyauk ikan sempena Pesta Loma 2022 di Dataran Loma Kampung Bandariang pada Ahad.
Kemenangan itu adalah hasil tangkapan seekor ikan loma yang beratnya hanya 100 gram.
Tangkapan itu membawa tuah apabila 14 peserta lain yang menyertai aktiviti sama gagal memperoleh sebarang tangkapan.
Ketika ditemui, Siti Mariyam menyifatkan kemenangannya itu sebagai rezeki untuk keluarga.
Dia menyertai aktiviti itu bersama suaminya sekadar mengisi masa lapang dan untuk memeriahkan pesta yang menjadi acara tahunan di kawasan berkenaan.
"Tak sangka pula, walau dapat seekor ikan, saya jadi pemenang utama," katanya yang membawa pulang hadiah wang tunai RM150.
Pesta Loma yang dikenali pesta menyauk ikan loma di Sungai Rui mula diperkenalkan pada 2016 dan telah dijadikan acara tahunan. Hanya pada tahun 2020 dan 2021 aktiviti itu tidak dianjurkan akibat pandemik Covid-19.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temengor, Salbiah Mohamed berkata, Sungai Rui mempunyai keistimewaan apabila menjadi satu-satunya laluan ikan loma untuk melepaskan telur di hulu sungai khususnya pada Ogos hingga November setiap tahun.
Menurutnya, pada kebiasaan musim tiba, ikan loma lebih mudah diperoleh setiap kali selepas hujan.
"Kalau dekat Sungai Rui ini, nak tahu ada atau tidak, ikut pada hujan, kalau hujan lebat, ikan-ikan ini akan naik.
"Tapi disebabkan dua ke tiga hari ini hujan sikit-sikit sahaja, jadi ikan yang kita dapat hari ini, tidaklah begitu banyak," ujarnya.
Beliau berharap, penganjuran Pesta Loma dapat dimasukkan dalam kalendar pelancongan agar dapat diketengahkan kepada masyarakat luar.
Katanya, keunikan Sungai Rui yang dipenuhi spesis ikan loma pada musim tertentu itu tidak diperolehi di kawasan dan negeri lain.
"Hanya di sini sahaja setiap tahun ikan loma akan naik, jadi kalau dimasukkan dalam kalendar pelancongan, sekurang-kurangnya masyarakat luar dapat merasai kemeriahan bagaimana penduduk di sini sauk ikan loma, meriahnya umpama pesta," jelas beliau.
Selain aktiviti menyauk ikan, Pesta Loma 2022 turut dimeriahkan dengan acara sukan rakyat, pertandingan memasak ikan sungai, siang ikan loma, mewarna, jualan makanan dan menamam pokok merbau bersama pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Gerik.
Acara merakit sejauh 20 kilometer menyusuri Sungai Rui turut diadakan dengan disertai 41 pasukan dari Titi Gantung Kampung Jong hingga ke Dataran Loma.