PENGENDALI Kuala Lumpur (KL) City FC, Bojan Hodak ternyata kecewa dengan aksi terburuk skuad The City Boys setelah ditundukkan Penang FC 0-1 dalam saingan Liga Super di George Town pada Sabtu.
"Saya percaya ini adalah permainan terburuk dalam tempoh dua tahun," katanya.
Dalam aksi di Stadium Bandaraya itu, The City Boys turun tanpa dua tonggak, Declan Lambert dan Zhafri Yahya yang kini berada dalam skuad Harimau Malaya bagi kejohanan Piala Raja Thailand 2022.
Jurulatih kelahiran Croatia turut mengakui benteng pertahanan dan jentera serangan yang goyah menjadi antara punca pasukan itu mempamerkan aksi kurang memuaskan.
"Setiap perlawanan kalau tidak berada pada tahap (kekuatan pemain) 100 peratus tidak boleh menang. Ini permainan kedua berturut-turut yang kami tidak dapat menang,” ulasnya.
Dalam pada itu, pengendali Penang FC, Datuk Zainal Abidin Hassan memuji para pemain yang mempamerkan kesungguhan luar biasa apabila membantu pasukan meraih tiga mata berharga.
Menurutnya, perlawanan itu ibarat soal hidup dan mati pasukannya bagi membangkitkan semangat serta mengembalikan kepercayaan penyokong terhadap prestasi skuad Harimau Kumbang yang kian merosot kebelakangan ini.
"Alhamdulillah (ini perlawanan) hidup dan mati pasukan pada malam ini (Sabtu) dan tidak semestinya masa hidup dan mati sahaja bermain begini, tetapi pemain memberi segala-galanya dan dengan sepenuh hati mereka.
"Tiap-tiap pemain telah berkorban walaupun kita banyak terlepas peluang keemasan dan ada juga terdapat kelalaian tetapi akhirnya kita dapat menjaringkan gol.
"Kemenangan ini amat penting kerana apabila pasukan down dan berada dalam keadaan tertekan selain memudahkan saya menjalankan pasukan ini pada perlawanan seterusnya,” katanya.