SHAH ALAM - Pemuda Gerakan Tanah Air (GTA) mendakwa DAP Perak sudah hilang sokongan sehingga menggunakan wajah-wajah Melayu Islam sebagai naratif baharu untuk menarik sokongan.
Naib Ketua Pemuda GTA, Fahmi Bazlan Muda berkata, pemimpin parti DAP negeri itu tidak layak malah parti itu tidak sepatutnya cuba membawa naratif perjuangan Islam dalam parti berkenaan.
"DAP melalui (Pengerusi DAP Perak) Ngar Kor Ming menggunakan angka 313 dan juga wajah-wajah Melayu Islam sebagai naratif baharu untuk menarik sokongan terhadap parti itu.
"DAP kini sudah hilang sokongan dan untuk mengembalikan sokongan itu mereka dilihat cuba membawa naratif perjuangan Islam tetapi mereka tidak layak.
"Mereka adalah 'anti-Islam' dan sangat rasis. Di sisi umat Islam angka 313 ini adalah sandaran kepada tentera Islam dalam Perang Badar," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Pada Sabtu, Perak melancarkan penubuhan cawangannya di Parlimen Parit dan mencatat rekod sebagai cawangan DAP paling ramai ahli Melayu di Perak.
Calon Parti Amanah Negara (Amanah) yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Tarmizi Mohd Jam dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penaja cawangan itu.
Kor Ming dilaporkan berkata, setakat ini sebanyak 313 permohonan untuk menjadi ahli cawangan itu telah diterima.
Menurutnya, penubuhan DAP di Parlimen Parit merupakan satu sejarah kerana Parit merupakan kawasan hampir seratus peratus orang Melayu.
Dalam pada itu, Fahmi Bazlan berkata, Kor Ming tidak layak dan tidak sepatutnya membawa naratif Melayu Islam kerana ia dapat membangkitkan kemarahan Melayu Islam.
"Ini adalah satu lagi provokatif yang sengaja dilakukan. Ia memberi isyarat bahawa parti ini (DAP) perlu ditolak habis-habisan dalam PRU15 akan datang," katanya.