Dakwa paling banyak dibuli, Pas tetap budayakan politik matang

Iklan
Abdul Hadi

SHAH ALAM - Pas tetap istiqamah bersama Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) walaupun menjadi parti yang ahlinya paling banyak dibuli dalam jangka masa paling lama.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, ahli parti itu ramai yang diambil tindakan melalui Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selain ada yang terkorban seperti dalam Peristiwa Memali dan sebagainya.

Iklan
Iklan

Selain itu dakwanya, kerajaan Pas di Kelantan turut dinafikan hak royalti minyak dan situasi sama berlaku ketika Pas mentadbir Terengganu, selain hak-hak lain mengikut Perlembagaan Persekutuan yang berkonsepkan federalisme.

"Sehinggakan, kerajaan yang dipimpin oleh Pas menghadapi masalah yang sukar diselesaikan dan mudah dikritik oleh lidah tidak bertulang dan dakwat cair yang mudah ditulis untuk menjadikannya fitnah murahan khusus bagi menipu generasi muda yang tidak sempat mengikuti hal sebenar," katanya menerusi hantaran Facebooknya pada Ahad.

Iklan

Dalam masa sama, beliau turut mengucapkan syabas dengan pendirian rakyat Kelantan yang terus bersabar bersama-sama perjuangan parti itu sehingga kini.

Sementara itu, Abdul Hadi turut menempelak dakwaan pihak tertentu bahawa orang Melayu gagal memerintah dengan menyifatkan pihak terlibat sebagai buta sejarah.

Iklan

Tegasnya, kenyataan sedemikian juga turut menyentuh soal perkauman dan sensitiviti kaum.

"Lalu, dinyatakan rupa bentuk gajah dengan keterangan yang salah dan penuh pembohongan," katanya.

Beliau berkata, kejatuhan kerajaan Melayu terdahulu berkait dengan agama apabila pegangan Islamnya lemah sehinggakan mewujudkan perpecahan, dalam masa sama kekuatan teknologi bangsa Eropah memberikan kelebihan ketenteraan kepada mereka menjajah, memperhambakan bangsa lain dan menguasai sumber bumi jajahannya.

Jelasnya, kelemahan bangsa Melayu kini lebih banyak disebabkan mereka pernah dibuli pada zaman penjajahan yang datang bertalu-talu daripada Portugis diikuti Belanda, Inggeris, Perancis dan Sepanyol sehingga beberapa abad.

"Walau bagaimanapun, roh Islam yang masih ada dalam diri bangsa Melayu yang diajar oleh Islam cara bermasyarakat majmuk menyebabkan mereka tidak bertindak agresif terhadap kaum yang lain walaupun mereka terpaksa menerima kesan yang sangat negatif dari segi politik, ekonomi dan sosial.

"Keadaan ini dapat disaksikan berlaku di negeri-negeri yang terdapat banyak pendidikan agama Islam seperti di Pantai Timur dan utara Semenanjung.

"Maka, kalangan mereka yang menuding jari terhadap orang Melayu sangatlah tidak berbudi, bukan sahaja tidak bermoral dan tidak beradab," katanya.