SHAH ALAM - Exco Pemuda UMNO, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin menyifatkan keberanian ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kini menjadi sebutan pemimpin-pemimpin negara Islam seluruh dunia.
Beliau berkata, walaupun Malaysia merupakan sebuah negara kecil di dunia tetapi suara dan keberanian Malaysia menyampaikan pendirian terhadap isu-isu global wajar menjadi contoh yang mampu memberikan inspirasi kepada negara kecil lain.
"Ia adalah salah satu usul yang tepat dan wajar diambil oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
"Ini kerana krisis yang berlaku sekiranya berterusan tanpa ada penyelesaian, tanpa mereka sedari serta konflik yang berlaku sebenarnya turut memberi impak bahaya kepada negara kuasa besar kerana isu global," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Pada Sabtu media melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mencipta satu lagi sejarah sebagai pemimpin tertinggi Malaysia yang pertama berucap menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya pada perhimpunan diplomatik terbesar itu.
Beliau yang tampil segak berbaju Melayu hitam mencuri tumpuan delegasi lain sebaik melangkah masuk ke dewan utama manakala seluruh delegasi negara termasuk Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah turut memakai baju kebangsaan dan batik Malaysia.
Dalam pada itu, Muhamad Muqharabbin berkata, kesediaan Ismail Sabri menyampaikan ucapan dalam bahasa kebangsaan turut dipuji.
"Ini menjadi sejarah buat Malaysia di mana Bahasa Melayu terus diperkenalkan kepada masyarakat dunia," jelas beliau.