Sifat terpuji Keluarga Malaysia

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Sabtu mengenai tabung derma kilat dilancarkan Founder Misi bagi membantu ringankan beban ahli keluarga dan mangsa yang terlibat kemalangan di persimpangan lampu isyarat Jalan Meru-Jalan Haji Sirat, Shah Alam pada Jumaat.

INSIDEN seorang penghantar makanan maut dalam kemalangan melibatkan lima kenderaan di persimpangan lampu isyarat Jalan Meru-Jalan Haji Sirat, Klang pada Jumaat lalu memperlihatkan sifat empati rakyat Malaysia.

Sifat terpuji itu jelas dirasai Keluarga Malaysia apabila mengetahui mangsa yang maut baru sahaja mendirikan rumah tangga dua minggu lalu dan kini meninggalkan isteri tercinta buat selama-lamanya.

Iklan
Iklan

Penulis terharu apabila ada pihak turut berkongsi apa yang dirasakan waris mangsa dalam kejadian itu dengan tampil menghulurkan bantuan melalui tabung derma kilat dilancarkan oleh Founder Misi.

Setakat jam 12 tengah hari Ahad, tabung itu telah berjaya mencapai sasaran dengan mengumpul RM204,282 daripada 13,296 penyumbang sejak dibuka jam 10 malam Jumaat dengan hampir RM97,000 sumbangan dikutip tidak sampai 24 jam.

Iklan

Kemalangan itu dipercayai berlaku akibat pergeseran dua buah kenderaan utiliti sukan (SUV) Nissan X-Trail sebelum merempuh sebuah Proton Wira dan dua motosikal.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, selain penghantar makanan berusia 34 tahun meninggal dunia di tempat kejadian, seorang lagi penunggang motosikal berusia 29 tahun mengalami kecederaan parah dan masih dirawat di hospital.

Iklan

Lebih menyedihkan, isteri mangsa dipercayai sedang hamil.

Menurut pengendali Facebook berkenaan, Nor Ahmad Faiz Mohd Adli, 31, tabung tersebut dibuka bagi meringankan beban keluarga kedua-dua mangsa dengan sasaran kutipan sebanyak RM200,000.

Dia berkata, derma kilat untuk mangsa kemalangan itu adalah atas inisiatif sendiri sebagai tanda prihatin dan dibuat tanpa pengetahuan keluarga mangsa.

"Saya ada isteri dan keluarga, jadi situasi mangsa dekat di hati saya. Sebab itu saya keluarkan idea untuk bantu keluarga mangsa yang mungkin terputus punca pendapatan sekarang.

"Keluarga masih bersedih jadi saya tak berani mahu ganggu mereka tapi kita faham pastinya mereka memerlukan bantuan,” katanya.Nor Ahmad Faiz berkata, misi bantuan itu adalah kali kedua dilancarkan selepas tabung banjir Selangor tahun lepas yang berjaya mengutip RM1 juta dalam masa 24 jam.

Penulis berbangga dengan pendekatan dilakukan Nor Ahmad Faiz selaku pempengaruh di media sosial yang menghidupkan sifat kemanusiaan dalam diri Keluarga Malaysia dengan membantu mereka yang memerlukan.

Menjengah ke ruangan komen Facebook Founder Misi yang mempunyai 276,000 pengikut, penulis mendapati rata-rata memuji dan menyokong usaha yang dilakukan itu selain menyifatkan kutipan tersebut dibuat secara telus.

Malah, nama penyumbang serta transaksi turut dipaparkan bagi memberikan keyakinan orang awam untuk sama-sama menghulurkan sumbangan. Syabas dan terima kasih kepada Founder Misi.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao mengesahkan kedua-dua pemandu SUV Nissan X-Trail yang mengakibatkan kemalangan maut itu bebas daripada penyalahgunaan dadah.

Menurutnya, ujian saringan air kencing telah dijalankan selepas penahanan dua pemandu lelaki dan wanita berkenaan.

Jika sebelum ini Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memandang serius berhubung aduan diterima membabitkan kesalahan melanggar lampu isyarat merah terutama melibatkan rider p-hailing, namun dalam kejadian ini bukan semua kemalangan maut membabitkan kecuaian penghantar p-hailing.

Sebaliknya, Presiden Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar), Zulhelmi Mansor tampil menjelaskan insiden kemalangan yang berlaku di Klang pada Jumaat itu adalah bukti bahawa isu seumpama itu sebenarnya melibatkan keseluruhan pengguna jalan raya.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan ada dalam kalangan penghantar yang tidak mematuhi peraturan jalan raya, tetapi bukan semua mereka.

Tambah Zulhelmi, pihaknya juga banyak menganjurkan program keselamatan jalan raya untuk penghantar p-hailing sebagai salah satu ikhtiar dalam meningkatkan keselamatan dan turut menggesa agar kerajaan memperkasakan jaringan perlindungan sosial kepada mereka.

Apa yang pasti, penulis mengharapkan semua pihak terutama pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati di jalan raya dan membudayakan pemanduan berhemah.

* Zubir Sulaiman ialah Editor Pengisian Sinar Harian Online