Terpaksa berhimpit satu rumah

Iklan
Muhammad A'fiq sedang mengulang kaji pelajaran bersama lapan rakannya yang tinggal bersama-sama dalam sebuah rumah sewa di Shah Alam.

SHAH ALAM - Penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) di beberapa bandar besar kini berdepan kesukaran untuk mendapatkan rumah sewa, terutamanya bagi pelajar kemasukan semester baharu.

Situasi itu memaksa penuntut Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam yang hanya ingin dikenali sebagai Safwan Hazim, 22 untuk menyewa di pangsapuri bersama lapan orang rakannya sehingga terpaksa menjadikan ruang tamu sebagai bilik tidur.

Iklan
Iklan

Pemuda berasal dari Temerloh, Pahang itu mengakui langkah tersebut terpaksa diambil sebagai langkah penjimatan selain jarak ke universiti lebih dekat berbanding kediaman lain.

"Saya dan kawan-kawan sudah cuba mencari banyak rumah sewa sebelum ini, tetapi tidak ada banyak kekosongan. Kalau ada pun sewanya sangat mahal untuk kami sebagai pelajar untuk menampung setiap bulan.

Iklan

"Bila dapat (sewa) rumah di sini, saya bersyukur walaupun dua orang terpaksa tidur di ruang tamu disebabkan keadaan bilik yang sempit,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Mohamad Suhaib Shafie, 23, pula, dia terpaksa menyewa bersama 13 rakannya di dalam satu rumah teres dua tingkat yang terletak kira-kira 1 kilometer (km) dari universiti.

Iklan

"Untuk berjimat, kami menyewa beramai-ramai. Tetapi yang duduk dalam bilik, kadar sewanya mahal sedikit berbanding mereka yang tidur di ruang tamu.

"Bayaran ikut bilik. Contohnya, saya dan beberapa rakan lain di bilik utama perlu bayar RM90 sebulan, manakala yang di ruang tamu bayar RM80 sahaja,” jelas pelajar jurusan Bahasa Arab dan Komunikasi itu.

Sementara itu, penuntut lain, Muhammad A’fiq Jamaluddin, 22, berkata, disebabkan sukar untuk mencari rumah sewa, dia terpaksa tinggal berhimpit di rumah sewa di Shah Alam bersama lapan lagi rakan sekelasnya.

Dia berkata, tinggal di bandar besar agak mencabar untuk pelajar sepertinya menampung sewa rumah dan perbelanjaan harian.

"Susah nak cari rumah sewa. Memang banyak tempat kami cari, tapi ramai yang sudah tempah dahulu dan ada juga yang lebih memilih pelajar perempuan sahaja.

"Sebenarnya apabila terlalu ramai di rumah, agak sukar nak fokus (belajar) dengan suasana yang bising, tetapi kami tiada pilihan lain kerana tidak mampu nak sewa rumah lebih besar,” ujarnya.

Bagi penuntut di salah sebuah universiti awam di Pulau Pinang, Nur Sairah Ahmad, 23, pula, dia tidak menafikan segelintir penyewa enggan menyewakan rumah kepada pelajar disebabkan kelakuan tidak bertanggungjawab mereka.

"Ini kali ketiga saya menyewa bilik yang berlainan gara-gara gagal untuk mendapatkan kolej kediaman.

"Dua bilik sewa saya sebelum ini memang kebanyakan pelajar tidak pandai menguruskan rumah. Keadaannya bersepah, bilik air berdaki, makanan dibiarkan sehingga berkulat, malah perkakas rumah seperti mesin basuh, peti ais, perabot pun cepat rosak kerana tidak dijaga dengan baik.

"Kita duduk ramai sebab nak berjimat, tetapi kalau rumah pun sudah macam tongkang pecah, nak tinggal situ pun tidak selesa,” katanya yang sebelum ini pernah tinggal bersama lapan pelajar IPT berlainan jurusan dalam satu rumah.