BAITULMAQDIS - Mufti Besar Baitulmaqdis, Sheikh Mohammad Hussein berkata pada Ahad bahawa peningkatan pencerobohan para peneroka haram Yahudi ke pekarangan Masjid Al-Aqsa adalah satu percubaan untuk mengubah status quo bersejarah dan agama di dalam tapak suci itu.
Bercakap kepada radio Voice of Palestine, Hussein berkata, masjid itu adalah tapak suci Islam yang menjadi hak tunggal umat Islam.
Beliau menuntut dunia Arab dan Islam untuk campur tangan untuk menghentikan pencerobohan Israel di masjid tersebut.
Dalam pada itu, berpuluh-puluh peneroka haram Yahudi menyerbu Masjid Al-Aqsa pada minggu lalu di bawah perlindungan ketat polis Israe.
Para peneroka itu juga menganjurkan lawatan provokatif di pekarangan masjid tersebut, menurut Jabatan Wakaf Baitulmaqdis.
Pada malam Sabtu, ratusan peneroka melakukan ritual Talmud di kawasan Tembok Al-Buraq.
Kumpulan pelampau baru-baru ini menggesa pencerobohan besar-besaran dilakukan dengan memasuki Masjid Al-Aqsa pada Isnin dan Selasa untuk menyambut Tahun Baru Hebrew.
Pada kebiasaannya, pencerobohan harian berlaku di Masjid Al-Aqsa kecuali pada Jumaat dan Sabtu. - Agensi