Tidak mengaku palsukan dokumen program PenjanaKerjaya

Iklan
Tertuduh (dua dari kanan) didakwa atas dua pertuduhan memalsukan borang pendaftaran pekerja di bawah Program PenjanaKerjaya dua tahun lalu.

KUALA TERENGGANU - Pemilik sebuah syarikat mengaku tidak salah di Mahkamah Sesyen disini, pada Isnin atas dua pertuduhan memalsukan borang pendaftaran pekerja dibawah Program Insentif Pengambilan Pekerja (PenjanaKerjaya) 1.0, dua tahun lalu

Tertuduh, Ezza Suria Muda, 37, yang merupakan Pemilik Syarikat ESM Suria Enterprise membuat pengakuan itu setelah pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan hakim Dazuki Ali.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memalsukan satu dokumen iaitu borang pendaftaran pekerja dibawah Peraturan-Peraturan (AM) Keselamatan Sosial Pekerja 1971 (Peraturan 10,12 dan 12 A) pendaftaran bertarikh 3 November dan 23 November 2020.

Dengan itu, tertuduh didakwa melakukan di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Iklan

Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM10,000 oleh seorang penjamin selain pasport diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta dikehandaki melaporkan diri ke pejabat SPRM berdekatan setiap bulan.

Mahkamah turut menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 18 Oktober depan.

Iklan

Kes tersebut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Syed Azimal Amir.

Difahamkan, kes berkenaan merupakan kes pertama didakwa susulan siasatan dijalankan SPRM dan Perkeso sebelum ini.

Sebelum ini, SPRM dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) melancarkan Ops Hire bagi menyiasat isu tuntutan palsu dan penyelewengan dana insentif Program Penjana Kerjaya (PenjanaKerjaya) di beberapa negeri.

Program PenjanaKerjaya antara inisiatif kerajaan bagi membantu majikan dan pekerja semasa mendepani cabaran Covid-19 bermula awal 2020.

Perkeso sebelum ini turut menggantung bayaran insentif PenjanaKerjaya sebanyak RM423 juta susulan terdapat penyelewengan dan tuntutan palsu membabitkan pihak majikan dan penyedia latihan.